Hasil Siasatan Konsisten, Punca Kematian Nidza Afham Masih Diklasifikasi Mati Mengejut
Siasatan kes kematian penyanyi, Muhammad Nidza Afham Mokhtar masih diklasifikasi sebagai mati mengejut (SDR) oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM), lapor Sinar Harian.
Menurut Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain, beliau memaklumkan bahawa hasil siasatan terkini oleh JSJ masih konsisten seperti laporan bedah siasat Hospital Shah Alam.
“Kes kematiannya adalah kekal sama seperti yang diumumkan oleh Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan, sebelum ini yang mengklasifikasikan kes sebagai kematian mengejut (SDR).
“JSJ bagaimanapun pada masa ini masih lagi meneruskan siasatan termasuk meneliti dan melawat semula lokasi kejadian sekiranya terdapat sebarang elemen wujudnya unsur jenayah,” katanya seperti yang dilaporkan oleh Sinar Harian.
Punca kematian Nidza Afham masih diklasifikasi mati mengejut
Tambahnya, pegawai penyiasat yang hadir ke lokasi bertujuan untuk meneliti jika ada rakaman kamera litar tertutup (CCTV) atau saksi yang boleh membantu siasatan.
“Sekiranya ada petunjuk, kita akan mengumpul segala bukti yang ada serta mengklasifilasi semula kes berkenaan,” ujarnya lagi.
Terdahulu, menerusi laporan media tempatan, Datuk Hussein Omar Khan menafikan kehilangan barang milik Afham seperti yang tular dalam media sosial minggu lalu.
Menurut Sinar Harian, Allahyarham dipercayai keluar berjoging bersendirian di Stadium Sultan Suleiman, Klang berpada 13 Ogos lalu sebelum kehilangannya disedari pada 9 malam hari yang sama.
Kemudian, media melaporkan mayatnya ditemui di Sungai Klang pada 14 Ogos.
BACA: Floria Diraja Putrajaya: Kapsul Masa 1995 Pertama Kali Dibuka Untuk Tontonan Umum
Sumber: Sinar Harian