Seorang lelaki yang terjatuh dari ketinggian 63 sentimeter (cm) ketika melakukan kerja penyelenggaraan sebuah menara telekomunikasi di Kampung Juru, Simpang Ampat, sempat menjalani rawatan selama 37 hari sebelum disahkan meninggal dunia.
Berdasarkan infografik terbaharu dikeluarkan Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Pulau Pinang, mangsa menjalani pembedahan dan rawatan di beberapa hospital susulan kecederaan yang dialaminya dalam kejadian pada 11 Julai lalu.
Bagaimanapun, mangsa disahkan meninggal dunia pada 16 Ogos lalu.
Menurut laporan perubatan yang dikongsikan JKKP, pekerja terbabit meninggal dunia akibat komplikasi kecederaan parah di bahagian leher sehingga menjejaskan fungsi saraf dan tekanan darah.
Mangsa turut mengalami masalah jantung akut serta jangkitan paru-paru ketika menerima rawatan di hospital.

Kronologi Kejadian
Sebelum ini, Pejabat Pengarah JKKP Pulau Pinang memaklumkan pihaknya sedang melengkapkan siasatan berhubung kematian pekerja terbabit yang mengalami kemalangan ketika menjalankan kerja penyelenggaraan di sebuah menara telekomunikasi.
Menurut JKKP, kejadian berlaku kira-kira jam 4.45 petang ketika mangsa menjalankan kerja Corrective Maintenance terhadap sebuah kabinet telekomunikasi di lokasi berkenaan.
Jelas JKKP, kawasan menara yang tidak diselenggara dengan baik serta dipenuhi semak dan rumput panjang dipercayai menyebabkan mangsa memilih untuk berjalan di atas tapak konkrit atau plinth setinggi 63cm bagi mengelakkan laluan berkenaan.
Ketika hendak turun ke kawasan berumput, mangsa dikatakan memegang pintu sangkar kabinet sebagai tempat berpaut.
Namun, pintu itu dikatakan terbuka secara tiba-tiba menyebabkan mangsa hilang imbangan sebelum terjatuh terlentang di kawasan berumput.
Akibat kejadian itu, mangsa mengalami kecederaan di bahagian belakang leher sebelum dibawa ke hospital oleh rakan sekerjanya.
Kes berkenaan sebelum ini mengundang persoalan dalam kalangan warganet berhubung punca kematian mangsa memandangkan ketinggian tempat mangsa terjatuh hanya sekitar 63cm.
Bagaimanapun, infografik terbaharu JKKP menjelaskan kronologi penuh kejadian serta kecederaan serius yang dialami mangsa sebelum beliau meninggal dunia selepas 37 hari menerima rawatan.
Susulan kejadian itu, JKKP Pulau Pinang mengeluarkan Surat Arahan kepada pihak berkaitan bagi mengemukakan dokumen dan maklumat berkaitan kemalangan tersebut untuk tujuan siasatan lanjut.
Kes itu kini disiasat mengikut Seksyen 15(1), Seksyen 17(1) dan Seksyen 18B Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994, selain peraturan keselamatan dan kesihatan pekerjaan yang berkaitan.

