Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) tampil dengan ‘wajah baharu’ menerusi pengenalan Pakaian Operasi TLDM yang dikenali sebagai “The Blue Valor”.
TLDM menerusi satu perkongsian di Facebook memaklumkan pakaian tersebut telah diperagakan oleh para anggotanya ketika sambutan Hari Kebangsaan pada 31 Ogos lalu.
Menurut TLDM, derapan langkah penuh disiplin warganya pada sambutan bersejarah itu bukan sekadar mempamerkan keseragaman sebuah kontinjen ketenteraan.
Sebaliknya, “The Blue Valor” melambangkan keberanian warga TLDM yang berdiri teguh dalam kesetiaan kepada negara serta sentiasa bersedia mempertahankan kedaulatan maritim negara.
TLDM perkenal pakaian operasi baharu
Seperti lautan yang luas dan abadi, begitu jugalah keberanian para pelaut. Pakaian itu bukan sekadar seragam, malah menjadi simbol kehormatan, kebanggaan dan penyatuan warga TLDM.
Untuk pengetahuan, pakaian tersebut sebenarnya telah dilancarkan beberapa bulan lalu sempena sambutan Hari TLDM ke-92.
“‘The Blue Valor’ bukan sahaja mentransformasikan imej TLDM agar tampil lebih profesional melalui tona warna aset dan lautan, malah menawarkan kelebihan taktikal serta identiti unik untuk TLDM yang bertujuan membezakan pakaian seragam TLDM dengan agensi pihak berkuasa tempatan yang lain sama ada di dalam atau luar negara,” katanya.

Lebih menarik, pemilihan warna dan reka bentuk pakaian itu merupakan hasil kolaborasi strategik TLDM bersama Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam.
Dengan kombinasi empat tona warna iaitu hitam, biru kelabu gelap, kelabu dan biru muda, pakaian tersebut mencerminkan identiti tersendiri TLDM.
“TLDM juga telah mendapatkan Sijil Hak Cipta “The Blue Valor” daripada Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO), sekali gus menjadi satu lagi pencapaian penting dalam pembangunan baharu Pakaian Operasi TLDM,” katanya lagi.
Maksud “The Blue Valor”
Warna biru pada pakaian itu melambangkan keluasan domain maritim yang dilindungi oleh Tentera Laut Diraja Malaysia.
Ia turut melambangkan lautan, kesetiaan, kepercayaan serta kekuatan yang tenang. Warna biru juga mencerminkan warisan ketenteraan laut Malaysia dan komitmen TLDM dalam mempertahankan kedaulatan di seluruh perairan negara.
Sementara itu, perkataan “Valor” membawa maksud keberanian, sekali gus menggambarkan semangat juang, kehormatan dan dedikasi yang tidak berbelah bahagi ketika menghadapi cabaran.
“Ia menggambarkan keberanian tentera laut yang mempertahankan negara, sering kali dalam keadaan mencabar dan penuh ketidakpastian,” kata TLDM.

