Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan semua dana yang dirampas daripada hasil haram melalui proses undang-undang serta keputusan badan kehakiman akan dipulangkan semula kepada rakyat.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, dana berkenaan yang mencecah nilai berbilion ringgit akan diberi keutamaan untuk dimanfaatkan dalam bidang pendidikan dan kesihatan.
Katanya, tindakan merampas kekayaan hasil rasuah atau salah guna kuasa hanya boleh dilakukan berdasarkan proses undang-undang serta keputusan badan kehakiman.
“Kalau pun ada tindakan merampas kekayaan melalui tindakan badan kehakiman dan undang-undang atas keterlanjuran mana-mana syarikat atau perseorangan, rasuah atau salah guna kuasa yang mencecah berbilion ringgit.
“Hari ini saya isytiharkan semua dana yang dirampas daripada hasil haram melalui proses undang-undang dan keputusan badan kehakiman, semua diperoleh itu berbilion ringgit akan dipulangkan terutama dalam bidang pendidikan dan kesihatan rakyat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Amanat Perdana Hari Kebangsaan 2026 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), di sini hari ini.
Dalam ucapannya, Anwar turut merakamkan penghargaan kepada seluruh penjawat awam serta kepimpinan negara yang terus berusaha memperkukuh tatakelola baik dalam pentadbiran.
Menurutnya, kemerdekaan tidak seharusnya sekadar dilihat dari sudut kebebasan negara, sebaliknya perlu diterjemahkan melalui pengurusan hasil negara yang memberi manfaat kepada seluruh rakyat.
“Apa erti kemerdekaan kalau negara ditadbir satu wajah penjajah? Apa erti kemerdekaan kalau hasil tidak dipulangkan kepada rakyat?
“Apa erti kemerdekaan kalau ada anak-anak yang terpencil dan yang terpinggir tidak mendapat kesempatan mengecap kemewahan yang dikecapi rakan-rakan?
“Maka setiap warga Melayu, Iban, Kadazan, Orang Asli, Cina atau India adalah warga Malaysia yang tercinta yang harus diberikan perhatian dan pembelaan sewajarnya,” katanya.

