Platform media sosial yang menggunakan nama Twitter kini muncul semula sebagai pesaing kepada X, tiga tahun selepas Elon Musk menukar nama Twitter kepada X.
Bagaimanapun, platform baharu dikenali sebagai Twitter.now itu bukanlah versi lama Twitter yang dikembalikan, sebaliknya sebuah rangkaian sosial baharu yang dibangunkan oleh syarikat pemula, Operation Bluebird.
Platform berkenaan cuba menghidupkan semula pengalaman Twitter terdahulu dengan membolehkan pengguna membuat hantaran, membalas, menyiarkan semula serta berinteraksi dalam format perbualan terbuka yang pernah menjadi identiti Twitter.
Menurut laporan Engadget, Jumaat lalu, platform itu diperkenalkan oleh Stephen Coates, bekas penasihat undang-undang Twitter, menerusi hantaran di LinkedIn.
Menariknya, Twitter.now dilancarkan ketika Operation Bluebird dan X terbabit dalam pertikaian undang-undang berhubung hak penggunaan nama serta tanda dagangan Twitter dan Tweet.
Operation Bluebird mendakwa X sudah meninggalkan hak terhadap tanda dagangan berkenaan selepas penjenamaan semula kepada X, namun dakwaan itu dipertikaikan X yang turut mengambil tindakan undang-undang terhadap syarikat berkenaan.
Dari segi akses pula, Twitter.now tidak menawarkan penggunaan percuma.
Sebaliknya, pengguna perlu membayar AS$20 (kira-kira RM84) untuk mendapatkan akses awal sebagai “Founder”, manakala pilihan “Fighter” pula berharga AS$40.
Menurut Operation Bluebird, bayaran itu bertujuan menyokong pembangunan platform serta membantu membiayai pertikaian undang-undang berhubung nama Twitter.
Platform berkenaan turut memperkenalkan pendekatan berasaskan kecerdasan buatan (AI) menerusi sistem dikenali sebagai VERA.
Sistem itu menggunakan model Gemini milik Google untuk menganalisis hantaran, menilai dakwaan serta memberikan konteks, sumber dan petunjuk tahap kepercayaan.
Teknologi tersebut dirancang untuk menyokong ciri Trust Dial, yang membolehkan pengguna menentukan jenis kandungan yang mahu dipaparkan dalam suapan berdasarkan tahap keyakinan terhadap sesuatu kandungan.
Dalam pada itu, Twitter.now memasuki pasaran media sosial yang kini turut mempunyai beberapa alternatif kepada X seperti Threads dan Bluesky.
Berbeza dengan kebanyakan platform baharu yang perlu membina identiti dari awal, Twitter.now cuba menggunakan kekuatan nostalgia terhadap nama dan pengalaman Twitter yang pernah popular.
Platform itu turut menggunakan logo burung, namun reka bentuknya berbeza daripada logo burung biru Twitter yang lama dengan penampilan yang mempunyai tambahan bulu.
Persoalannya kini, adakah nostalgia terhadap Twitter mampu menarik semula pengguna lama untuk meninggalkan X?

