Seorang pemilik kolam pancing, Ahmad Jailani, menuntut pihak bertanggungjawab memberi penjelasan berhubung kerugian dialaminya selepas air kolam miliknya di Desa Cindai Alus, Kecamatan Martapura, Kabupaten Banjar, diambil helikopter peboman air bagi operasi memadamkan kebakaran hutan dan tanah (karhutla).
Menurut Jailani, pengambilan air berulang kali menyebabkan paras air kolamnya menyusut secara mendadak sehingga menjejaskan kira-kira dua tan ikan pelbagai jenis yang sedang diternak.
“Kolam saya ini khusus untuk kolam pancing dan kandungan kolam ini sebanyak dua tan ikan dengan pelbagai jenis.
“Disebabkan kehadiran helikopter tadi, ikan menjadi tertekan dan banyak yang mati,” katanya seperti dilaporkan Kompas.com, Jumaat lalu.
Kejadian itu berlaku pada Khamis apabila helikopter peboman air mengambil air dari kolam miliknya ketika operasi memadamkan kebakaran hutan dan tanah masih dijalankan di beberapa kawasan Kalimantan Selatan.
Jailani berkata, beliau sebelum itu sudah cuba memberi isyarat kepada juruterbang supaya tidak mengambil air dari kolam berkenaan, namun usaha itu tidak diendahkan.
“Sudah kita beri isyarat supaya jangan mengambil air di kolam ini. Namun, mereka tetap mengambilnya,” jelasnya.
Menurutnya, pengambilan air bukan berlaku sekali, sebaliknya helikopter berkenaan datang beberapa kali sehingga menyebabkan bekalan air di kolam pancingnya berkurangan dengan ketara.
Jailani berkata, kolam pancing yang diusahakannya sejak 2010 menjadi antara sumber pendapatan bagi menyara keluarganya.
Katanya, sepanjang musim kemarau, dia terpaksa mengeluarkan kos tambahan bagi memastikan paras air kolam kekal mencukupi untuk kelangsungan hidup ikan.
“Sepanjang musim kemarau ini kami berusaha mengekalkan paras air dengan mengisi menggunakan trak pikap yang dilengkapi tangki air.
“Setiap kali mengangkut air, saya perlu mengeluarkan kos sehingga Rp600,000,” katanya.
Dalam pada itu, Jailani berkata, keadaan kolam selepas air diambil menyebabkan dirinya berasa terkilan dan mengalami kerugian.
Ujarnya, beliau kini sedang membuat pengiraan jumlah kerugian sebelum mempertimbangkan tuntutan ganti rugi terhadap pihak berkaitan.
Jailani turut mempersoalkan pihak yang perlu bertanggungjawab terhadap kerugian dialaminya susulan pengambilan air bagi tujuan operasi pemadaman kebakaran.
“Siapa yang bertanggungjawab untuk menggantikan kerugian kami?
“Air ini kami dapat dengan kos sendiri, kami angkut supaya ikan dapat bertahan. Sekarang airnya habis lagi dan ikan menjadi tertekan,” katanya.

