Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Tiga Pemandu Ditahan, Tiga Treler Disita Disyaki Angkut Bijih Besi Tanpa Kelulusan

PEMANDU
Kredit: Wan Rosdy Wan Ismail

Tiga pemandu ditahan manakala tiga treler disita selepas dipercayai terbabit dalam aktiviti pemindahan bahan mineral yang disyaki bijih besi di Sungai Batu, Mukim Batu Talam, di sini semalam.

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, tindakan itu dilakukan susulan rondaan pemantauan dan risikan terhadap aktiviti pemindahan bahan mineral di kawasan berkenaan.

Katanya, operasi penguatkuasaan itu dilaksanakan Unit Penguatkuasaan Negeri Pahang (UPNP) membabitkan 23 anggota daripada Zon Pahang Barat, Zon Pahang Tengah, Sektor Penyelidikan dan Remote Sensing serta Sektor Tugas Khas.

“Hasil risikan termasuk pemantauan menggunakan dron mengesan tiga treler yang disyaki membawa bahan mineral keluar dari kawasan perlombongan.

“Ketiga-tiga lori itu kemudiannya ditahan untuk pemeriksaan. Semakan mendapati pemandu mengemukakan Borang 13D dan Delivery Order (DO) daripada kelulusan kawasan lain bagi tujuan pengangkutan bahan mineral,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, pemeriksaan lanjut mendapati lokasi `stokpile' bahan mineral yang ditunjukkan pemandu berada di luar kawasan perlombongan yang dibenarkan seperti dinyatakan dalam dokumen dikemukakan.

“Selain itu, lokasi `stokpile' berkenaan didapati berada di kawasan yang mempunyai Lesen Pendudukan Sementara (LPS), manakala tiga pemandu gagal mengemukakan dokumen atau kelulusan sah berkaitan lokasi tersebut,” katanya.

Wan Rosdy berkata, pihak penguat kuasa turut merampas tiga keping Borang 13D serta mengambil dua sampel bahan mineral yang disyaki bijih besi untuk tujuan penyiasatan dan pendakwaan.

Katanya, tindakan sitaan dan tangkapan dilakukan mengikut Seksyen 137 Enakmen Mineral Negeri Pahang 2001.

“Kesalahan berkaitan maklumat dan kemungkiran terma atau syarat pula sedang disiasat mengikut Seksyen 159 dan Seksyen 165 Enakmen Mineral Negeri Pahang 2001,” katanya.

Beliau berkata, ketiga-tiga individu berkenaan kemudian dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bentong sebelum dilepaskan dengan jaminan polis.

Sementara itu, tiga kenderaan yang disita dibawa ke Tapak Sitaan UPNP Zon Pahang Tengah di Temerloh.

Dalam pada itu, Wan Rosdy mengarahkan supaya kertas siasatan dibuka dan siasatan menyeluruh dijalankan bagi menentukan sama ada berlaku pelanggaran terhadap syarat serta peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.

Katanya, kerajaan negeri tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang menjalankan aktiviti berkaitan sumber mineral tanpa mematuhi undang-undang, syarat lesen, permit dan kelulusan yang ditetapkan.