Kerajaan bersetuju mengembalikan kelayakan asas subsidi petrol BUDI95 kepada 300 liter sebulan bermula 1 September ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, keputusan itu diumumkan ketika menyampaikan ucapan pada Majlis Amanat Hari Kebangsaan 2026, di sini hari ini.
Katanya, lebih 16 juta pengguna akan menikmati petrol RON95 bersubsidi sehingga 300 liter sebulan menerusi langkah berkenaan.

“Ini bermakna lebih 16 juta pengguna akan menikmati RON95 bersubsidi sehingga 300 liter sebulan,” katanya.
Dalam pada itu, Anwar berkata, lebih 500,000 pemilik kenderaan diesel jenis pikap dan jip yang layak turut akan menikmati kemudahan BUDI Diesel sehingga 400 liter sebulan.
Menurutnya, kedua-dua langkah itu merupakan antara enam ikhtiar segera kerajaan untuk membantu rakyat yang diumumkan sempena Ambang Merdeka.
Selain itu, beliau mengumumkan peruntukan penyelenggaraan bagi semua jenis sekolah akan ditambah 50 peratus tahun depan, daripada RM1 bilion kepada RM1.5 bilion.
Katanya, peruntukan itu meliputi semua aliran pendidikan termasuk sekolah kebangsaan, sekolah jenis kebangsaan Cina dan Tamil, sekolah agama, tahfiz, pondok serta pendidikan khas.
“Saya turut arahkan Kementerian Pendidikan untuk mengatur gerak kerja turun ke setiap daerah dan meneliti setiap permohonan pembaikan prasarana oleh sekolah,” katanya.
Dalam perkembangan sama, Anwar berkata, kerajaan akan membuka Program AI untuk Rakyat kepada golongan muda berusia antara 18 hingga 30 tahun.
Ujarnya, seramai 100,000 belia yang melengkapkan modul ditetapkan akan menerima langganan aplikasi kecerdasan buatan (AI) terkemuka secara percuma selama tiga bulan.
Beliau berkata, kerajaan turut menyediakan RM1 bilion bagi memperkukuh kecekapan digital sektor kesihatan awam, termasuk pelaksanaan sistem Rekod Perubatan Elektronik serta meningkatkan ketersambungan internet di 150 hospital dan lebih 2,000 klinik kesihatan awam.
Tambahnya, ambang pengecualian e-Invois juga dinaikkan daripada RM1 juta kepada RM3 juta setahun.
Jelasnya, langkah itu bermakna perniagaan dengan jualan tahunan tidak melebihi RM3 juta tidak diwajibkan melaksanakan e-Invois.

