Polis mengesahkan dua lelaki ditahan kerana disyaki memecah masuk dan menceroboh kediaman luar bandar Putera William dan Puteri Kate di estet Sandringham.
Polis Norfolk berkata, pihaknya menerima laporan mengenai aktiviti mencurigakan di Anmer Hall kira-kira jam 6 petang waktu tempatan pada Isnin.
Susulan laporan itu, polis mengerahkan unit anjing pengesan, dron dan helikopter untuk menjalankan pemeriksaan sebelum menahan dua lelaki di kawasan estet berkenaan.
Kedua-dua suspek kini masih ditahan bagi membantu siasatan, manakala polis mengesahkan kediaman itu tidak berpenghuni ketika kejadian berlaku.
Istana Kensington pula memaklumkan pihaknya tidak akan mengulas sebarang perkara berkaitan keselamatan.
William dan Kate tidak menetap di Anmer Hall sepanjang masa, sebaliknya menggunakan kediaman itu sebagai tempat berehat ketika musim cuti.
Dua Lelaki Ditahan Disyaki Pecah Masuk Kediaman Putera William

Seorang penduduk, Val Blackmur, 83, yang tinggal di jalan menuju ke kediaman itu, menyifatkan cubaan memecah masuk sebagai sesuatu yang sukar dipercayai.
Wanita itu memberitahu BBC bahawa dia terkejut sekiranya ada individu yang cukup berani melakukan perkara sedemikian.
Anmer Hall yang mempunyai 10 bilik tidur itu merupakan hadiah daripada mendiang Ratu Elizabeth II kepada pasangan berkenaan sempena perkahwinan mereka pada 2011.
Bangunan agam berwarna merah bata itu terletak dalam kawasan persendirian estet Sandringham di Norfolk, kira-kira tiga kilometer ke timur Sandringham House yang juga salah sebuah kediaman persendirian Raja Charles III.
Kediaman utama William dan Kate pula terletak dalam kawasan Istana Windsor di Berkshire.
Estet Sandringham meliputi kawasan seluas kira-kira 80 kilometer persegi dan dibuka kepada kunjungan orang ramai.
Bagaimanapun, bangunan utama serta taman di sekelilingnya ditutup buat sementara waktu.
Kawasan hutan Royal Parkland yang terletak di sebelah barat bangunan utama pula boleh dikunjungi orang ramai sepanjang tahun.
Beberapa anggota keluarga diraja turut menetap di estet berkenaan, termasuk Andrew Mountbatten-Windsor yang berpindah ke Marsh Farm pada Februari lalu.
Walaupun kawasan kediaman keluarga diraja mempunyai kawalan keselamatan ketat, beberapa kejadian pencerobohan pernah dilaporkan sejak beberapa dekad lalu.
Antara kejadian terbaharu berlaku pada 2024 apabila Polis Thames Valley memaklumkan sekumpulan pencuri menceroboh sebuah ladang dalam kawasan estet Istana Windsor sebelum melarikan dua kenderaan.
Blackmur berkata, kawasan tempat tinggalnya jarang berdepan kejadian luar biasa sehingga laporan mengenai insiden itu menarik perhatiannya.
“Kami tidak pernah berdepan masalah seperti ini, jadi apabila sesuatu yang luar biasa berlaku, sudah tentu kami tertanya-tanya apa sebenarnya yang terjadi,” katanya.
Wanita berusia 83 tahun itu turut berkata, bunyi kereta polis atau helikopter di kawasan berkenaan bukanlah sesuatu yang asing bagi penduduk setempat.
“Kami sudah tinggal di sini selama 50 tahun, tetapi tidak pernah mendengar kejadian seperti itu,” katanya.
“Anmer Hall terletak di kawasan yang sangat terpencil dan tersorok daripada pandangan orang ramai, jadi saya rasa orang ramai pasti terkejut jika mengetahui perkara ini,” katanya.

