Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

SUKMA: Selangor Pertimbang Cuti Peristiwa Jika Muncul Juara Keseluruhan - Exco

sukma
Kredit: Bernama

SHAH ALAM, 23 Ogos (Bernama) -- Kerajaan Negeri Selangor akan mempertimbangkan untuk memberikan cuti peristiwa jika kontinjen Sukan Malaysia (SUKMA) negeri berkenaan berjaya meraih gelaran juara keseluruhan pada temasya itu.

Exco Belia, Sukan dan Keusahawanan Mohd Najwan Halimi berkata perkara itu hanya akan diumumkan selepas kiraan pingat dimuktamadkan dengan kontinjen Selangor menunjukkan peluang cerah untuk menamatkan temasya dengan cemerlang.

“Cuti akan kami usulkan kepada Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari untuk beliau pertimbangkan. Seandainya kami muncul juara keseluruhan, mungkin boleh dipertimbangkan untuk diberikan insentif kepada rakyat Selangor.

“Insentif untuk atlet yang berjaya, insya-Allah kami akan gerakkan selepas selesai SUKMA ini nanti,” katanya pada sidang media perkembangan semasa SUKMA Selangor 2026 di Bangunan Majlis Sukan Negeri Selangor di sini hari ini.

Najwan berkata setakat 2.50 petang hari ini Selangor berjaya mengutip 85 emas dengan yang terkini disumbangkan antaranya oleh pasukan e-sukan (MLBB) wanita, acara terjun 3m papan anjal individu wanita, ping pong perseorangan wanita dan boling padang perseorangan lelaki.

“Cuma saya ingatkan juga kepada atlet untuk terus fokus, ada berbaki lebih kurang sehari setengah lagi untuk kami menamatkan SUKMA ini dan pastinya berikanlah yang terbaik. Soal menang atau kalah itu adat dalam pertandingan,” katanya.


Sumber:BERNAMA
Intipati
  • Selangor akan mempertimbangkan cuti peristiwa jika kontinjen negeri muncul juara keseluruhan SUKMA.
  • Najwan berkata cadangan itu akan diusulkan kepada Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari.
  • Setakat 2.50 petang, Selangor mengutip 85 emas dengan beberapa sumbangan terbaru.

Bahagian ini dijana AI dan mungkin mengandungi kesilapan. Lapor kesilapan