Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan bahawa kerajaan akan terus menambah baik aplikasi navigasi TuJu bagi memudahkan perjalanan rakyat.
Menerusi video yang dikongsikan di media sosialnya, Anwar berkata orang ramai boleh menggunakan aplikasi navigasi lain selain Waze yang berpangkalan di Israel.
“Dalam perjanjian, saudara pakai sahaja Waze, ada masalah undang-undang yang menentukan itu undang-undang Israel.
“Dia tak ada undang-undang negara lain, itu yang menyebabkan mengapa saya ambil tindakan yang agak spontan, tak boleh saya kata nak tangguh, satu hari pun tak boleh.
“Ada orang kata patut sabar dulu, semak dulu, saya kata dah sah sebab kalau saudara gunakan Waze maknanya secara automatik, ia menyerahkan semua maklumat kepada Israel,” katanya.
Menurut Anwar, beliau turut menerima makluman daripada Lembaga Lebuh Raya Malaysia (LLM) bahawa aplikasi TuJu masih belum lengkap dan sedang ditambah baik.
Sehubungan itu, beliau berkata orang ramai boleh menggunakan aplikasi navigasi alternatif yang berpangkalan di Malaysia.
“Kemudian bila saya dapat pengakuan daripada Lembaga Lebuh Raya kata TuJu itu betul, rupanya tak lengkap.
“Jadi sekarang, menteri pun dah jelaskan di Parlimen, guna apa sahaja yang lain yang berpangkalan di Malaysia.
“Walaupun tidak canggih tak apalah kita baiki. Lebih baik, selamat daripada serahkan maklumat, kerahsiaan negeri, peribadi saudara dan negara kepada Israel,” ujarnya.
