Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Kerajaan Tidak Bercadang Perkenal Semula GST, Bimbang Bebankan Rakyat - PM Anwar

GST
Kredit: Bernama

Kerajaan tidak bercadang memperkenalkan semula Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) kerana sistem percukaian itu bersifat menyeluruh dan dikhuatiri memberi beban tambahan kepada rakyat, khususnya golongan berpendapatan rendah.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, GST dikenakan secara meluas kepada pengguna, berbeza dengan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) yang dikenakan kepada peniaga.

Menurutnya, meskipun terdapat beberapa pengecualian barangan di bawah GST, prinsip asas sistem itu tetap melibatkan cukai yang lebih meluas.

“Walaupun ada sedikit pengecualian beberapa ratus item tetapi prinsipnya itu SST cukai kepada peniaga, GST cukai kepada semua, ‘broad-based tax’,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Ahli Parlimen Ipoh Timur, Lee Chuan How di Dewan Rakyat hari ini.

Anwar menjelaskan, sistem SST ketika ini memberikan pengecualian kepada kira kira 2,000 barangan, berbanding hanya sekitar 750 barangan di bawah sistem GST.

Beliau mengakui GST mempunyai kelebihan dari segi kecekapan dan ketelusan, namun pelaksanaannya perlu mengambil kira tahap kemampuan kewangan rakyat.

Katanya, pengenaan GST ketika sebahagian rakyat masih berpendapatan sekitar RM1,500 hingga RM2,000 sebulan dikhuatiri menambahkan beban perbelanjaan mereka.

“Sekarang rakyat dapat RM1,500, RM1,700, RM2,000 dan kita kenakan GST, terbeban dia,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berpandangan pelaksanaan GST hanya wajar dipertimbangkan sekiranya pendapatan minimum rakyat meningkat kepada sekurang kurangnya RM4,000.

“Bila pendapatan rakyat keseluruhannya meningkat, RM4,000 minimum dan kita kenal GST itu munasabah,” katanya.

Intipati
  • Kerajaan tidak bercadang memperkenalkan semula GST kerana dikhuatiri membebankan rakyat berpendapatan rendah.
  • Anwar berkata GST cukai menyeluruh kepada pengguna, berbeza dengan SST dikenakan kepada peniaga.
  • Beliau berkata GST wajar dipertimbangkan jika pendapatan minimum rakyat mencapai sekurang-kurangnya RM4,000.

Bahagian ini dijana AI dan mungkin mengandungi kesilapan. Lapor kesilapan