Susulan larangan penggunaan Waze dalam kalangan penjawat awam, rakyat Malaysia mungkin tertanya-tanya apakah aplikasi navigasi tempatan lain yang boleh dijadikan alternatif.
Menurut kenyataan kerajaan, larangan itu dibuat selepas Jawatankuasa Keselamatan Siber Negara (JKSN) meneliti risiko keselamatan maklumat dan data pergerakan rakyat dalam mesyuarat pada 20 Oktober 2026.
Perkara itu turut dikaitkan dengan Waze yang tertakluk kepada undang-undang kerajaan Israel, sekali gus menimbulkan kebimbangan berkaitan keselamatan data.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, turut menggalakkan penggunaan TuJu sebagai pilihan lain kepada Waze, sekali gus memperkenalkan aplikasi navigasi tempatan kepada pengguna.
Namun, selain TuJu, Malaysia juga mempunyai satu lagi aplikasi navigasi tempatan yang boleh diterokai, iaitu PINTAZ, dengan kedua-duanya menawarkan ciri tersendiri untuk membantu pengguna merancang perjalanan.
TuJu, Teman Perjalanan Untuk Pengguna Lebuh Raya

TuJu merupakan aplikasi navigasi lebuh raya yang dibangunkan melalui kerjasama Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) dan Prosignal Consortium Sdn. Bhd., menurut laman rasminya.
Aplikasi ini menggabungkan maklumat daripada LLM, pengendali lebuh raya, sumbangan komuniti yang disahkan dan data terkini peranti pintar untuk menyediakan maklumat perjalanan kepada pengguna.
Maklumat tersebut membantu pengguna mengetahui keadaan trafik semasa sebelum memilih laluan, terutama ketika merancang perjalanan jauh atau berulang-alik menggunakan lebuh raya.
Antara ciri utama TuJu ialah navigasi destinasi berserta anggaran waktu ketibaan atau estimated time of arrival (ETA), yang membantu pengguna menganggarkan tempoh perjalanan.
Pengguna juga boleh mengakses paparan kamera litar tertutup (CCTV) lebuh raya secara langsung untuk mendapatkan gambaran keadaan jalan di lokasi yang menyediakan kemudahan tersebut.
Bagi mereka yang mahu menganggarkan perbelanjaan perjalanan, TuJu menyediakan fungsi pengiraan caj tol supaya pengguna boleh menyemak kos sebelum memulakan perjalanan.
Selain itu, aplikasi ini menawarkan maklumat kawasan Rehat dan Rawat (R&R), hentian sebelah, stesen minyak, stesen pengecas kenderaan elektrik (EV) dan pilihan tempat makan sepanjang laluan.
TuJu turut menyediakan akses pantas kepada nombor telefon konsesi lebuh raya, syarikat insurans dan talian kecemasan bagi pengguna yang mengalami kerosakan kenderaan atau kemalangan.
Malah, pautan kepada platform MyJalan turut disediakan bagi memudahkan pengguna melaporkan kerosakan jalan raya, lampu isyarat dan masalah berkaitan kepada pihak berkenaan.
Secara keseluruhan, TuJu menumpukan maklumat lebuh raya, kemudahan perjalanan dan saluran bantuan, menjadikannya pilihan yang boleh diterokai oleh pengguna yang kerap menggunakan lebuh raya.
Bagaimanapun, TuJu ketika ini memfokuskan navigasi lebuh raya di Semenanjung Malaysia, jadi pengguna di Sabah dan Sarawak mungkin perlu menunggu sekiranya liputannya diperluas ke Malaysia Timur pada masa hadapan.
PINTAZ, Navigasi Dengan Paparan Lorong Lebih Terperinci
Berbeza dengan TuJu yang menonjolkan maklumat lebuh raya dan kemudahan perjalanan, PINTAZ mengetengahkan panduan navigasi visual dengan paparan lorong jalan yang lebih terperinci.
Menurut laman rasminya, aplikasi navigasi buatan Malaysia ini memaparkan jalan mengikut lebar lorong sebenar, lengkap dengan garisan pembahagi, anak panah arah dan persimpangan bertingkat.
Paparan tersebut membantu pengguna mengenal pasti lorong yang perlu digunakan lebih awal, terutama ketika menghampiri simpang atau perlu menukar lorong sebelum membelok.
PINTAZ turut menyediakan panduan suara dalam bahasa Melayu dan Inggeris, termasuk arahan seperti mengekalkan kedudukan di lorong tertentu sebelum tiba di persimpangan.
Dari segi maklumat trafik, aplikasi ini membolehkan pengguna melihat laporan komuniti mengenai kesesakan, kehadiran polis, bahaya di jalan raya dan kejadian banjir.
Pengguna juga boleh menyemak anggaran kos tol, melihat lokasi kamera had laju pada peta serta membandingkan pilihan laluan berdasarkan keperluan perjalanan masing-masing.
Pengguna juga boleh memilih mod perjalanan kereta atau motosikal serta membandingkan laluan, termasuk pilihan mengelakkan tol.
Bagi pengguna yang mahu mencari lokasi menarik atau kemudahan berdekatan, fungsi carian tempat PINTAZ merangkumi kedai mamak, masjid, pasar malam, stesen minyak dan kawasan R&R.
Aplikasi ini turut menyokong Apple CarPlay, membolehkan paparan navigasi digunakan pada skrin kereta yang serasi, selain menawarkan fungsi memaparkan model kereta tiga dimensi sendiri.
PINTAZ juga menyatakan bahawa aplikasinya boleh digunakan secara percuma tanpa langganan, sekali gus membolehkan pengguna meneroka fungsi navigasi yang ditawarkan tanpa bayaran berkala.
Berbeza dengan TuJu, PINTAZ menyatakan bahawa data jalannya meliputi Semenanjung Malaysia serta Malaysia Timur, menjadikannya satu pilihan untuk pengguna yang memerlukan panduan navigasi di Sabah dan Sarawak.

Mengapa Perlu Pertimbangkan Aplikasi Navigasi Tempatan?
Selain memudahkan perjalanan, penggunaan aplikasi navigasi turut melibatkan perkongsian data lokasi yang boleh memberikan gambaran tentang pergerakan seseorang.
Public Health Malaysia menjelaskan bahawa data tersebut bukan sekadar menunjukkan lokasi pengguna, malah boleh mendedahkan rutin harian dan tempat yang kerap dikunjungi apabila dikumpulkan dari semasa ke semasa.
Bagaimanapun, perkara ini tidak bermaksud terdapat bukti bahawa semua data pengguna Waze telah disalahgunakan, sebaliknya menunjukkan kepentingan menjaga keselamatan maklumat peribadi.
“Kita menyokong langkah kerajaan untuk memperkukuh keselamatan data, termasuk mengurangkan kebergantungan kepada teknologi yang menimbulkan kebimbangan keselamatan,” jelas Public Health Malaysia.
Untuk rekod, larangan penggunaan Waze ini hanya melibatkan penjawat awam dan bukan semua rakyat Malaysia.
Justeru, pengguna boleh mempertimbangkan aplikasi navigasi tempatan seperti TuJu dan PINTAZ, sambil memastikan mereka memahami cara data lokasi dikendalikan oleh setiap aplikasi.

