Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Cara Perbaharui Pasport Menerusi Aplikasi MyGOV Malaysia

Cara Perbaharui Pasport
Kredit: Bernama

Urusan pembaharuan pasport kini menjadi lebih mudah dengan adanya aplikasi MyGOV Malaysia yang membolehkan rakyat mengemukakan permohonan, membuat pembayaran secara dalam talian serta memilih lokasi pengambilan pasport.

Iklan

Kemudahan itu diperkenalkan menerusi kemas kini aplikasi MyGOV Malaysia versi 2.1.4 oleh GovTech Malaysia sebagai usaha memudahkan orang ramai menguruskan permohonan dokumen perjalanan.

Cara perbaharui pasport menerusi aplikasi MyGOV Malaysia

Bagi orang ramai yang ingin menggunakan kemudahan tersebut, berikut merupakan langkah-langkah untuk mengakses perkhidmatan pembaharuan pasport menerusi aplikasi MyGOV Malaysia:

1. Muat turun aplikasi MyGOV Malaysia

Bagi pengguna yang belum mempunyai aplikasi MyGOV Malaysia, muat turun terlebih dahulu menerusi Apple App Store, Google Play Store atau Huawei AppGallery.

Pengguna sedia ada pula perlu memastikan aplikasi berkenaan telah dikemas kini kepada versi 2.1.4 bagi menikmati kemudahan terkini yang disediakan.

2. Pilih menu perkhidmatan

Selepas membuka aplikasi MyGOV Malaysia, pergi ke bahagian Perkhidmatan untuk melihat senarai perkhidmatan digital yang ditawarkan.

3. Pilih perjalanan dan pelancongan

Seterusnya, tekan kategori Perjalanan dan Pelancongan untuk mengakses perkhidmatan berkaitan urusan perjalanan, termasuk pembaharuan pasport.

4. Pilih perkhidmatan passport

Di bawah kategori berkenaan, pilih menu Pasport untuk melihat kemudahan berkaitan dokumen perjalanan yang disediakan dalam aplikasi.

5. Tekan pembaharuan pasport

Selepas memilih menu Pasport, pengguna boleh menekan pilihan Pembaharuan untuk meneruskan urusan pembaharuan pasport.

6. Lengkapkan perakuan permohonan

Pengguna perlu membaca maklumat yang dipaparkan pada bahagian Perakuan Permohonan dan menandakan kotak pengesahan atau tanda (tick) sebagai persetujuan sebelum meneruskan permohonan.

7. Teruskan permohonan dan lengkapkan urusan

Selepas itu, tekan butang Seterusnya untuk meneruskan proses permohonan.

Pengguna boleh mengikuti arahan yang dipaparkan dalam aplikasi bagi melengkapkan maklumat permohonan, membuat pembayaran secara dalam talian serta memilih pejabat Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) untuk pengambilan pasport.

Bagi fasa awal pelaksanaan, kemudahan pengambilan pasport menerusi aplikasi MyGOV Malaysia hanya disediakan di Pejabat Imigresen Shaftsbury, Putrajaya.

Lokasi pengambilan lain akan diperluas secara berperingkat oleh JIM bagi meningkatkan akses dan kemudahan kepada rakyat di seluruh negara.

MyGOV Malaysia Perkukuh Kemudahan Digital Rakyat

Kemudahan pembaharuan pasport menerusi aplikasi MyGOV Malaysia merupakan satu lagi langkah kerajaan dalam memperluas penggunaan teknologi digital bagi urusan perkhidmatan awam, sekali gus memudahkan rakyat menguruskan permohonan dokumen perjalanan dengan lebih cekap dan pantas.

Sehubungan itu, orang ramai digalakkan mengemas kini aplikasi berkenaan kepada versi terkini bagi menikmati kemudahan serta penambahbaikan yang disediakan.

Intipati
  • MyGOV Malaysia versi 2.1.4 menyediakan kemudahan pembaharuan pasport secara digital.
  • Pengguna boleh memohon, membayar secara dalam talian dan memilih lokasi pengambilan pasport.
  • Pengambilan fasa awal hanya tersedia di Pejabat Imigresen Shaftsbury, Putrajaya.

Bahagian ini dijana AI dan mungkin mengandungi kesilapan. Lapor kesilapan