Penguat Kuasa KPDN Berjaya Patahkan Taktik Sindiket Penyelewengan Minyak Masak Bersubsidi
PUTRAJAYA, 21 OGOS 2024 – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) berjaya menumpaskan sindiket penyelewengan minyak masak bersubsidi menerusi OPS TIRIS 3.0 dalam siri serbuan yang dilakukan ke atas beberapa buah premis di sekitar Negeri Perak, Selangor dan Johor yang merupakan syarikat pengilang, pembungkusan dan pemborong minyak masak pada 9 Ogos 2024.
Serbuan yang dilakukan secara bersepadu itu melibatkan kerjasama daripada KPDN Putrajaya, Perak, Selangor dan Johor itu adalah hasil risikan yang telah dilakukan oleh pihak KPDN beberapa bulan sebelum operasi dilaksanakan.
Hasil maklumat awal yang diperolehi, modus operandi sindiket ini adalah melibatkan proses penghantaran minyak masak bersubsidi yang sepatutnya dilakukan daripada sebuah kilang minyak masak yang beroperasi di Ipoh, Perak ke tiga buah syarikat pembungkusan minyak masak di Negeri Perak, namun penghantaran tersebut sebaliknya tidak berlaku tetapi dihantar kepada syarikat-syarikat pemborong minyak masak di negeri Selangor dan Johor dalam kuantiti tertentu.
Minyak masak bersubsidi terbabit sebahagiannya dikumpulkan di syarikat pemborong di Negeri Selangor, manakala selebihnya dikumpulkan di sebuah syarikat pemborong minyak masak di Negeri Johor sebelum dibungkuskan semula menggunakan bungkusan minyak masak botol dan dijual di pasaran mengikut harga minyak masak botol bukan bersubsidi.
Nilai keseluruhan ketirisan subsidi minyak masak dalam operasi ini boleh mencecah sehingga RM20 juta. Selain minyak masak, sitaan turut dilakukan ke atas beberapa dokumen perniagaan lain seperti invois belian dan jualan, dokumen tuntutan subsidi minyak masak di bawah Program Skim Rasionalisasi Harga Minyak Masak (COSS) dan beberapa peralatan dan kenderaan yang digunakan dalam aktiviti haram ini.
Setakat ini, dua individu lelaki warga tempatan berumur lingkungan 20 hingga 30 tahun telah ditahan bagi membantu siasatan.
Kertas siasatan telah dibuka dan siasatan lanjut ke atas kes ini sedang dilakukan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 [Akta 122] bagi mengenal pasti individu/syarikat lain yang terlibat dalam aktiviti haram ini serta rantaian pengedaran minyak masak tersebut.
KPDN ingin memberi amaran keras ke atas mana-mana individu/syarikat yang berkaitan agar sentiasa mematuhi perundangan yang telah ditetapkan. Mana mana orang yang melakukan kesalahan boleh diambil tindakan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 [Akta 122] dan jika disabitkan boleh didenda tidak lebih RM1,000,000.00 (Ringgit Malaysia Satu Juta).
Bagi kesalahan berikutnya tidak melebihi RM3,000,000.00 (Ringgit Malaysia Tiga Juta) bagi orang perseorangan atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali manakala bagi syarikat sekiranya sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM2,000,000.00 (Ringgit Malaysia Dua Juta) manakala bagi kesalahan berikutnya tidak melebihi RM5,000,000.00 (Ringgit Malaysia Lima Juta).
Selain itu, syarikat ini juga akan disiasat di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA 2001) [Akta 613] iaitu kesalahan pengubahan wang haram bagi tujuan mengesan, membeku, menyita serta sehingga ke peringkat perlucutan hak ke atas apa-apa hasil pendapatan atau harta yang dijana daripada aktiviti haram penyelewengan berkaitan minyak masak.
Jika disabitkan dengan kesalahan di bawah Akta 613 ini boleh dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi lima belas (15) tahun dan juga boleh didenda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai hasil daripada aktiviti haram atau peralatan kesalahan itu pada masa kesalahan itu dilakukan atau lima juta ringgit yang mana yang lebih tinggi.
Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berhubung aktiviti penyelewengan barang kawalan dan bersubsidi boleh menyalurkan aduan yang lengkap dan tepat kepada pihak Kementerian melalui saluran berikut:
i. WhatsApp 019-848 8000;
ii. Portal e-Aduan KPDN iaitu http://eaduan.kpdn.gov.my;
iii. Call Centre 1-800-886-800; dan
iv. Aplikasi Telefon Pintar Ez ADU KPDN.