Konsert “Avatar: The Last Airbender” Bakal Diadakan Di Malaysia September Ini
“Avatar: The Last Airbender in Concert” dilapor bakal diadakan di Malaysia pada 14 September ini.
Menurut portal rasmi Avatar In Concert, konsert berkenaan akan dipersembahkan oleh Orkestra Filharmonik Malaysia di Dewan Filharmonik PETRONAS.
Difahamkan, Malaysia merupakan satu-satunya lokasi di Asia yang akan mengadakan konsert berkenaan.
Menerusi konsert yang akan berlangsung selama dua jam itu, penonton dapat merasai pengalaman istimewa persembahan muzik-muzik ikonik dalam siri animasi tersebut.
Jelajah ini telah bermula pada Ogos
Selain itu, beberapa babak ikonik yang diambil daripada animasi berkenaan turut akan ditayangkan pada skrin sinema bersaiz penuh.
Gabungan kedua-dua persembahan itu akan membawa penonton mengembara dan mengikuti detik-detik paling diingati melibatkan Aang, Katara, Toph, Sokka, Zuko dan lain-lain.
Menurut laman web itu lagi, jelajah konsert itu bermula pada Ogos di Amerika Syarikat, sebelum terbang ke beberapa bandar di Eropah dan Australia pada 2025.
Untuk tahun ini, Malaysia merupakan negara tunggal di Asia dan satu-satunya di luar Amerika Syarikat yang bakal mengadakan konsert terbabit.
Dalam pada itu, konsert berkenaan mendapat sentuhan komposer dan pemuzik, Jeremy Zuckerman yang bertanggungjawab menggubah muzik asal animasi tersebut.
Tiket sudah mula dijual, bermula RM278 hingga RM598
Selain itu, penganjuran turut mendapat kerjasama pencipta siri animasi itu, Michael Dante DiMartino dan Bryan Konietzko serta Jeff Adams (penyunting asal siri berkenaan).
Kerjasama pelbagai pihak itu sekaligus menjadikan konsert berkenaan lebih epik dan menawarkan peluang kepada peminat untuk menikmati animasi berkenaan melalui persembahan orkestra.
Harga tiket ke ‘Avatar: The Last Airbender In Concert’ sudah pun boleh diperolehi menerusi laman web Avatar In Concert. Manakala, harga tiket pula bermula dari RM278 hingga RM598.
BACA: Muhammad Fakrul Pecah Rekod 400M Lari Berpagar Kebangsaan
BACA: Menang Besar Di Pameran Pelancongan Saudi Sempena Meraikan Hari Kebangsaan Malaysia Ke-67
Sumber: Avatar In Concert