Kenapa Mata Jadi Merah Lepas Berenang Di Kolam Renang? Ini Sebabnya
Bersenam dan bersukan merupakan aktiviti yang menyihatkan. Selain daripada membakar lemak, aktiviti ini juga dapat memastikan otot sentiasa bergerak. Sama ada berlari, berjalan, mahupun berbasikal, setiap aktiviti ini boleh dilakukan di kebanyakan tempat rekreasi.
Berlainan dengan aktiviti berenang, jika tempat tinggal anda jauh dari sungai, air terjun atau tepi laut, aktiviti ini hanya boleh dilakukan di kolam renang awam dan taman tema air. Malah sebelum ini, rakyat Malaysia antara tiga yang teratas gemar bercuti di tempat yang mempunyai kolam renang menurut Agoda.
BACA: Malaysia “Top 3”, Gemar Tempah Penginapan Dengan Kolam Renang Ketika Bercuti
Tempat takungan air yang berkongsi dengan orang ramai pastinya memerlukan keprihatinan yang tinggi tentang keselamatan dan kebersihan air kolam. Bagi memastikan tidak berlaku sebarang jangkitan, kebanyakan kolam renang menggunakan kaedah yang sama iaitu penggunaan klorin untuk proses sanitasi.
Berikutan itu, kewujudan klorin dalam air sering kali dikaitkan dengan keadaan mata yang menjadi merah.
Tahukah anda? Terdapat kajian yang menyatakan kewujudan klorin dalam air kolam renang bukan sebab utama mata menjadi merah. Jadi, apakah faktor utamanya? Jawapan yang kami kongsikan di bawah pasti mengejutkan anda.
Apa yang menyebabkan mata merah ketika berenang di kolam renang?
Faktor terbesar mata menjadi merah apabila berenang di kolam renang menurut Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit Amerika Syarikat (CDC) ialah air kencing, najis, kotoran, peluh, sel kulit, deodoran dan solekan. Segala kotoran yang mencemari air kolam renang tadi akan bergabung dengan klorin dan menghasilkan satu sebatian kimia lain yang dipanggil klorimina.
Jika anda sedang berendam di dalam kolam dan terbau ‘klorin’, itu sebenarnya bukan disebabkan terlalu banyak klorin digunakan. Ia menunjukkan klorin sudah bertukar menjadi klorimina. Klorimina boleh bertukar menjadi gas dan menyebabkan mata dan paru-paru sakit. Jadi, itulah yang menyebabkan mata anda menjadi merah apabila berenang di kolam renang.
Penting untuk anda tahu, klorimina yang terbentuk ini tidak sama dengan klorimina yang digunakan untuk merawat air minuman.
Kesemua bendasing ini membawa 1001 penyakit jika tidak diambil berat sebelum perenang masuk ke kolam renang. Perkara yang paling utama, ibu bapa perlu memastikan anak-anak tidak mengalami cirit-birit jika ingin mengunjungi kolam renang. Hal ini berikutan ia bukan sahaja setakat membuatkan mata merah, malah boleh menyebabkan jangkitan penyakit terhadap perenang lain.
Disebabkan ini, penting untuk anda bersihkan badan terlebih dahulu sebelum masuk ke dalam kolam renang. Selain itu, penggunaan pakaian khas juga boleh mengelakkan pencemaran kotoran dari luar kolam renang.
Mata merah lepas berenang, apa nak buat?
Untuk meredakan kemerahan mata, anda boleh bilas mata menggunakan air paip atau gunakan ubat titis mata. Jika ia berlarutan atau anda mengalami pedih yang teruk, sila rujuk doktor dengan kadar segera.
Sumber: Centre For Sight, Optex, VSP Vision Care, Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit Amerika Syarikat (CDC) (1) (2)