Digunakan Untuk Kesan Mangsa Tanah Jerlus, Ketahui Apa Itu Alat Radar Menembusi Tanah (GPR)
Memasuki hari ke-5 selepas kejadian tanah jerlus di Jalan Masjid India, operasi mennyelamat dan mencari (SAR) mangsa Vijayaletchumy, 48, yang dipercayai terjatuh ke dalam lubang sedalam lapan meter pada Jumaat masih diteruskan sehingga kini.
Pelbagai usaha dilakukan oleh pihak berkuasa bagi mencari mangsa termasuklah penggunaan alat pengesan Ground Penetrating Radar (GPR) untuk mengesan mangsa pada hari ini.
Susulan itu, timbul persoalan mengenai fungsi penggunaan alat itu dalam kalangan orang ramai.
Sehubungan itu, SK hari ini akan berkongsikan mengenai Ground Penetrating Radar (GPR) dan fungsinya, yang dikongsikan sendiri daripada pihak Agensi Nuklear Malaysia di bawah.
Apart itu Ground Penetrating Radar (GPR)?
Radar Menembusi Tanah atau Ground Penetrating Radar (GPR) merupakan alat atau teknik yang digunakan untuk mengesan mangsa tanah runtuh (tertimbus) di lokasi kejadian.
Difahamkan, teknik ini berkemampuan untuk menjejaki kebarangkalian mangsa jika berada di bawah tanah pada kedalaman 4 hingga 6 meter daripada permukaan tanah jerlus.
Biasanya, alat ini akan dibawa masuk ke dalam tempat kejadian bagi mengesan kedudukan mangsa.

Fungsi GPR
Teknologi ini telah lebih efektif khususnya di kawasan bawah tanah yang mempunyai sistem pembentungan atau saluran gas atau kawasan bandar.
Menurut Agensi Nuklear Malaysia, GPR ialah kaedah bukan invasif dan bersifat tidak memusnahkan dan digunakan untuk mengesan kebocoran paip dengan mengenal pasti perubahan di bawah permukaan yang disebabkan oleh kehadiran air.
Konsep asas teknik ini ialah dengan memancarkan gelombang elektromagnetik dengan frekuensi tertentu ke bawah permukaan.
Kemudian, gelombang ini akan dipantulkan semula ke permukaan berdasarkan perbezaan jenis material dan akan direkodkan semula oleh antena GPR.
Data yang dikumpul seterusnya akan diproses menggunakan perisian khusus untuk menggambarkan struktur bawah permukaan dan menganalisis isyarat yang diperolehi untuk sebarang perubahan dalam amplitud isyarat, corak pantulan atau artifak berkaitan air.
Setelah itu, lokasi yang berpotensi kebocoran akan dikenal pasti, kedudukan tepat kebocoran di sepanjang laluan paip ditentukan dengan memeriksa data GPR dengan teliti.
Berdasarkan penggunaan maklumat tambahan seperti pelan susun atur paip, lokasi kebocoran akan dikenal pasti dan kerja pembaikan boleh dijalankan.
Untuk makluman, ini bukan kali pertama GPR digunakan untuk mengesan mangsa bawah tanah, teknik ini juga digunakan sewaktu pencarian mangsa tragedi tanah runtuh di Batang Kali pada tabun 2022.
Difahamkan juga, Agensi Nuklear Malaysia pernah menggunakan GPR untuk mengesan mayat tentera Komanwel dalam Ops Reunite. Dalam operasi yang dijalankan pada tahun 2016, turut terlibat sama, Angkatan Tentera Malaysia dan Australia.
Sumber: Agensi Nuklear Malaysia