ECRL: Perjalanan Gombak-Kota Bharu Hanya 4 Jam
Projek yang dinantikan-nantikan banyak pihak, Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dijangka siap sepenuhnya menjelang akhir 2026 ini.
Menurut laporan BERNAMA pada Jun lepas, kerja-kerja pembinaan ECRL melibatkan jarak 665 kilometer itu berjalan lancar dengan 67 peratus pembinaan sudah siap sepenuhnya.
Projek bernilai RM50.2 bilion itu akan menghubungkan kawasan pantai timur dengan pantai barat dan merentasi 20 stesen yang terletak di empat negeri.
Negeri-negeri berkenaan adalah Kelantan, Terengganu, Pahang dan Selangor.
ECRL yang dijangka akan memulakan operasinya pada 2027 nanti bakal menjimatkan masa perjalanan antara Gombak ke Kota Bharu kepada empat jam sahaja melalui perkhidmatan ekspress yang ditawarkan.
Dijangka beroperasi pada 2027, ECRL bakal jadikan perjalanan Gombak-Kota Bharu hanya 4 jam
Sebelum ini, perjalanan darat rakyat Malaysia yang bergerak antara dua lokasi tersebut boleh memakan masa sehingga tujuh jam.
Malah, masa yang perlu ditempuhi semakin bertambah panjang terutamanya pada musim cuti sekolah atau musim perayaan.
Melalui hantaran yang dibuat oleh Kementerian Pengangkutan Malaysia (MOT), masa yang lebih singkat itu antaranya disumbangkan kecepatan ECRL yang mampu bergerak sehingga 160 kilometer per jam.
Berdasarkan hantaran tersebut, perjalanan menggunakan perkhidmtatan ekspress dari Kota Bharu ke Kuala Terengganu hanya memakan masa selama sejam.
Manakala dari Kuala Terengganu ke Kuantan pula mengambil masa selasa 1 jam 25 minit. Seterusnya dari Kuantan ke Bentong selama 1 jam 20 minit.
Perjalanan dari Bentong ke Gombak pula hanya memerlukan tempoh selama 2o minit sahaja.
Projek dimiliki oleh anak syarikat MOF
Menurut BERNAMA, ECRL merupakan projek infrastruktur mega yang dimiliki oleh MRL, iaitu anak syarikat milik penuh Kementerian Kewangan (Diperbadankan).
Manakala China Communication Constructions Company (CCCC) pula bertindak sebagai kontraktor utama projek berkenaan.
BACA: Bangkai Kapal Purba Dipercayai Lancang Kuning Ditemui Di Kepulauan Riau