Bangkai Kapal Purba Dipercayai Lancang Kuning Ditemui Di Kepulauan Riau
Sebuah bangkai kapal purba yang dipercayai merupakan kapal legenda Lancang Kuning dilapor ditemui di persisir pantai Lagoi, Kabupaten Bintan di Kepulauan Riau, Indonesia.
Menurut laporan media tempatan, penemuan berkenaan dibuat menerusi kerjasama Badan Riset dan Inovasi Basional (BRIN) dengan penyelidik dari Universiti L’Orientale Napoli, Itali.
Menurusi video yang dimuat naik di I News RCTI, bentuk rangka kapal berkenaan kelihatan jelas dari udara. Namun, sebahagian besar rangka berkenaan dipercayai masih terbenam di dalam pasir.
Hasil penelitian awal yang dibuat oleh BRIN dan penyelidik universiti berkenaan mendapati bahawa bangkai kapal berkenaan mungkin adalah kapal terkenal dari abad ke-12 itu.
Kapal legenda, Lancang Kuning ditemui di Bintan, Riau
Penelitian yang dibuat juga mendapati bangkai kapal itu mempunyai panjang sekitar 23 meter dan lebar sekitar enam meter.
Malah, pasukan penyelidik turut menemui beberapa artifak seperti tembikar China, pecahan tembikar, serpihan kaca dan logam serta syiling lama bersama kapal berkenaan.
Menurut salah seorang penyelidik tempatan yang terlibat, eskavasi berkenaan dibuat untuk merungkai sejarah dan perjalanan Bintan sebagai sebahagian daripada jalur perdagangan maritim dahulu kala.
Kali pertama ditemui pada 2016
Penemuan luar biasa itu kali pertama dibuat selepas banjir besar melanda kawasan Bintan pada 2016 sehingga mengikis pantai dan memperlihatkan sebahagian kecil runtuhan kapal berkenaan.
Kemudian, penyelidikan lanjut oleh pengkaji tempatan dan luar negara giat dijalankan ke atas bangkai kapal itu.
Dalam tradisi Riau, kapal Lancang Kuning merujuk kepada kapal kuning atau kapal kerajaan. Kapal berkenaan biasanya ditandakan dengan bendera berwarna kuning pada bahagian layar atau lambungnya.
BACA: Hilang Sejak Jumaat, Nur Humaira Syafiqah Ditemui Selamat
Sumber: I News RCTI, SINDONews