Indonesia sedang meneliti beberapa lokasi di beberapa wilayah, termasuk Kepulauan Riau dan Halmahera, bagi membangunkan loji tenaga nuklear pertama negara itu.
Menteri Penyelaras Hal Ehwal Hiliran dan Peralihan Tenaga, Bahlil Lahadalia berkata, kajian kebolehlaksanaan sedang dijalankan secara menyeluruh.
Menurutnya, kerajaan turut meneroka kerjasama dengan negara yang mempunyai kepakaran teknologi nuklear seperti Rusia, Amerika Syarikat, Korea Selatan dan Jepun.
“Kerajaan Indonesia sudah menjalin kerjasama dengan beberapa negara bagi membangunkan loji tenaga nuklear, termasuk di Kepulauan Riau yang kini sedang dikaji,” katanya kepada pemberita di Jakarta.
Indonesia Kaji Lokasi Pembinaan Loji Nuklear Pertama

Selain Kepulauan Riau, pihak berkuasa turut meneliti beberapa lokasi berpotensi di Kalimantan, Sumatera dan Halmahera.
Bagi cadangan pembinaan loji di Halmahera pula, penilaian sedang dilakukan bersama Rusia bagi meneliti kesesuaian kawasan tersebut.
Lahadalia menegaskan pemilihan lokasi bergantung sepenuhnya pada hasil penilaian teknikal dan keselamatan yang sedang dijalankan.
Beliau turut berkata, mana-mana rakan kerjasama asing perlu membuktikan rekod operasi yang cemerlang tanpa sebarang masalah keselamatan.
Kerajaan Indonesia menyasarkan lokasi loji tenaga nuklear pertama negara itu dimuktamadkan selewat-lewatnya pada 2027.
Berdasarkan perancangan syarikat utiliti milik kerajaan, PLN, loji itu dijangka mula beroperasi secara komersial pada 2032.
Fasiliti berkenaan disasarkan mempunyai kapasiti awal sebanyak 250 megawatt bagi menyokong keperluan tenaga negara tersebut.
Dalam unjuran tenaga jangka panjang negara, kapasiti tenaga nuklear Indonesia disasarkan meningkat kepada antara 35 hingga 42 gigawatt menjelang 2060.
Sasaran itu dijangka membolehkan tenaga nuklear membekalkan sehingga 12.1 peratus daripada keseluruhan campuran tenaga utama Indonesia.

