Apabila berlaku bencana alam, khususnya di negara-negara ASEAN, Malaysia antara negara yang sering tampil menghulurkan bantuan bagi meringankan beban mereka yang terjejas.
Keprihatinan itu turut dihargai seorang pemuda Indonesia yang sebelum ini mengucapkan terima kasih kepada Malaysia atas bantuan kepada mangsa banjir di Aceh dan Sumatera.
Namun kali ini, pemilik akaun TikTok @rezatafta tampil dengan permintaan berbeza apabila merayu agar Malaysia menjadi negara pertama yang ‘menggugat’ negaranya susulan berhubung isu jerebu.
Dalam video susulan, pemuda itu menjelaskan bahawa permintaannya berasaskan kebimbangan terhadap nasib orang ramai yang terjejas.
“Tolong jadi negara pertama...” - Rayu pemuda Indonesia
Dalam video pertama, pemuda tersebut mengimbas kembali ucapan terima kasihnya kepada Malaysia atas bantuan ketika bencana banjir melanda Aceh dan Sumatera.
Bagaimanapun, menurutnya, keadaan jerebu mendorong dia menyuarakan permintaan supaya tindakan diambil terhadap negaranya sendiri.
“Dulu saya ucapkan terima kasih kepada Malaysia kerana menjadi negara pertama yang membantu ketika banjir di Aceh, Sumatera, Indonesia.
“Tetapi sekarang saya minta tolong sangat. Tolong jadi negara pertama yang menggugat Indonesia kerana menyebabkan jerebu di seluruh Indonesia. Malah, negara di Asia Tenggara juga terkena kesannya,” katanya.
Menerusi video kedua, @rezatafta menjelaskan bahawa terdapat pihak yang tersalah memahami maksud perkongsiannya sebelum itu.
Tegasnya, perkara yang ingin diketengahkan ialah soal kemanusiaan, bukannya isu kemerdekaan Aceh atau pertentangan antara Indonesia dengan Malaysia.
“Ramai orang salah faham tentang hantaran saya sebelum ini. Ini bukan soal Aceh merdeka atau Malaysia. Ini semua tentang kemanusiaan,” jelasnya.
Bagi menerangkan pendiriannya, dia mengimbas beberapa bencana yang pernah berlaku di Indonesia, termasuk kebakaran hutan di Riau pada 2019 serta banjir dan tanah runtuh di Aceh dan Sumatera pada 2025.
Menurut pemuda itu, Malaysia dan negara jiran pernah menyuarakan hasrat untuk membantu. Namun, dakwanya, pihak Indonesia berulang kali menyatakan keyakinan bahawa bencana berkenaan mampu ditangani sendiri.
Dia turut menyebut penghantaran kira-kira dua tan bantuan perubatan dari Malaysia ke Aceh.
Mahu bantuan dipercepatkan
Mengulas situasi kebakaran hutan pada 2026, pemuda tersebut menyebut beberapa kawasan termasuk Kalimantan, Papua dan Aceh, selain menyatakan kesan asap turut dirasai negara jiran.
Dia kemudian mempersoalkan mengapa bencana itu belum diisytiharkan sebagai bencana nasional walaupun kesannya merentasi sempadan.
Pada pandangannya, pengisytiharan tersebut boleh membantu mempercepatkan kemasukan bantuan antarabangsa, perkongsian maklumat serta siasatan terhadap punca kebakaran.
Pemuda itu turut merujuk dakwaan mengenai kemungkinan penglibatan syarikat asing dalam kebakaran di Kalimantan, yang menurutnya perlu disiasat.

