Siakap Keli
mayat kanak-kanak dalam guni
Sumber: Detik

Mayat Kanak-Kanak Dijumpai Dalam Guni, Dipercayai Dibunuh Ibu Tiri

Mayat Kanak-Kanak Dijumpai Dalam Guni, Dipercayai Dibunuh Ibu Tiri

Seorang wanita di Pontianak, Kalimantan Barat dipercayai telah menganiaya anak tirinya yang berusia enam tahun sehingga menyebabkan kematian.

Mayat kanak-kanak malang itu ditemui dalam sebuah guni setelah sempat dilaporkan hilang kerana disyaki diculik.

Menurut Ketua Bidang Humas Polda Kalimantan Barat, Kombes Raden Petit Wijaya, kejadian tersebut bermula ketika mangsa pulang ke rumah pada Isnin, 19 Ogos sekitar jam 11.00 pagi.

Setibanya di rumah, mangsa tiba-tiba dimarahi oleh suspek tanpa alasan yang jelas.

“Mangsa dimarahi oleh suspek dan dalam keadaan hujan lebat, mangsa dikunci di halaman belakang rumah, tidak dibenarkan masuk rumah dan tidak diberi makan,” kata Petit kepada media tempatan pada Jumaat, 23 Ogos 2024.

Petit menjelaskan bahawa mangsa hanya dibenarkan masuk ke rumah pada keesokan harinya, Selasa, 20 Ogos sekitar jam 11.00 pagi.

Ketika suspek melihat keadaan anak tirinya yang lemah, mangsa akhirnya dibenarkan masuk ke dalam rumah dan diminta untuk mandi.

“Saat melihat mangsa berjalan dengan keadaan lemah dan terhuyung-hayang, suspek hilang sabar dan menolak mangsa di depan bilik mandi, menyebabkan mangsa jatuh dan kepalanya terhantuk pada lantai bilik mandi,” jelasnya.

Tambah Petit lagi, selepas mandi, keadaan kesihatan mangsa semakin merosot kerana tidak diberi makan.

Suspek yang ketika itu berada di hadapan televisyen, kemudian melihat mangsa baring dan mengalami sesak nafas.

Suspek segera bertindak memberi bantuan pernafasan dengan meniup mulut dan menekan dada mangsa.

Meskipun pernafasan mangsa mula teratur, tidak lama selepas itu, mangsa kembali mengalami kesukaran untuk bernafas sehingga suspek perlu memberi bantuan pernafasan berkali-kali.

Namun, ketika suspek cuba memberikan bantuan pernafasan sekali lagi, mangsa didapati sudah tidak bernafas lagi.

Dalam keadaan panik melihat mangsa yang sudah tidak bernyawa, suspek kemudiannya mengheret mayat mangsa ke belakang rumah.

Mayat mangsa kemudiannya dibungkus dengan plastik dan dimasukkan ke dalam guni.

“Suspek membungkus tubuh mangsa dengan beberapa plastik dan memasukkan tubuhnya ke dalam karung.

“Lalu, menyeret dan menyorokkan karung tersebut di celah antara dinding rumah suspek dan rumah jiran sebelah,” kata Petit.

Dakwa anak diculik, ayah kandung mangsa buat laporan polis

Ayah kandung mangsa pulang ke rumah setelah bekerja, tetapi merasa curiga kerana tidak melihat kelibat anaknya di rumah.

Ketika ditanya, suspek membuat penipuan dengan mengatakan bahawa anak mereka telah dijemput oleh dua orang yang tidak dikenali.

“Suspek memberi alasan bahawa mangsa telah dijemput oleh dua lelaki yang kononnya diarah oleh ayah mangsa untuk menjemputnya.

“Percaya dengan alasan tersebut, ayah mangsa membuat laporan kepada pihak polis atas dugaan penculikan,” jelas Petit.

Namun, usaha pihak polis untuk menyiasat kes tersebut menemui jalan buntu kerana kekurangan bukti.

Kemudian, ayah mangsa menerima panggilan telefon dari mertuanya yang mengatakan bahawa anaknya sudah meninggal dunia.

“Pengadu menerima panggilan telefon dari mertuanya yang mengatakan bahawa mangsa telah meninggal dunia dan mayatnya masih berada di sekitar rumah.

“Informasi tersebut diterima terus dari suspek,” tambah Petit.

Ayah mangsa segera melakukan pencarian dan akhirnya menemukan mayat anaknya apabila terhidu bau busuk di samping rumah.

“Setelah karung tersebut dibuka, akhirnya terlihat sepasang kaki kecil yang terbungkus plastik hitam dan hijau, dan memang benar bahawa kaki itu milik anaknya,” kata Petit.

Ayah mangsa segera melaporkan penemuan tersebut kepada pihak polis, dan ibu tiri mangsa telah ditangkap.

Hasil siasatan, suspek mengakui telah menganiaya dan membunuh serta menyembunyikan mayat mangsa.

Dalam pada itu, suspek kini dihadapkan dengan hukuman penjara 15 tahun dan denda sehingga Rp 3 bilion (kira-kira RM846,000).

BACA: Bekas Pengendali England Dan Lazio, Sven-Goran Eriksson Meninggal Dunia

BACA: Tanah Jerlus Masjid India: Anak Sahkan Wajah Mangsa, Masih Belum Ditemui

BACA: Tanah Jerlus: Mesin Jetter Berkuasa Tinggi Diguna Untuk Pecahkan Sisa Batuan

Sumber: Detik

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.