Puteri Norway Umum Berkahwin Dengan ‘Bomoh’
Puteri kepada keluarga Diraja Norway, Martha Louise dilapor selamat berkahwin dengan pasangannya, Durek Verrett yang pernah mengaku sebagai bomoh sebelum ini.
Menurut Sky News, majlis perkahwinan mereka berlangsung di Tapak Warisan UNESCO Geiranger Fjord di negara itu, pada Sabtu.
Perkahwinan mereka dikatakan telah mengundang pelbagai reaksi daripada warga Norway kerana pasangan itu sering terlibat dengan kontroversi sebelum ini.
Puteri keluarga Diraja Norway umum berkahwin dengan bomoh
Martha, 52, merupakan seorang individu yang percaya dengan rawatan alternatif dan dunia spiritual.
Sebelum ini, dia pernah membuka sebuah ‘pusat rawatan’ yang menawarkan perkhidmatan rawatan terapi alternatif untuk bercakap dengan malaikat dan orang mati kepada kliennya.
Dia juga pernah mendirikan rumah tangga dengan seorang penulis, Ari Behn pada 2002 sebelum bercerai pada 2017. Menerusi perkahwinan berkenaan, Martha memiliki tiga orang anak yang masing-masing berumur 21, 19 dan 15.
Manakala Durek, 49, yang berasal dari California, Amerika Syarikat mendakwa dirinya merupakan bomoh generasi keenam.
Malah, dia juga mendakwa keluarganya merupakan keturunan bomoh yang dikaitkan dengan puak Lucumi di Haiti.
Semasa pandemik melanda dunia, Durek juga pernah menjual pingat emas pada harga £200 yang didakwanya boleh ‘menghalau’ pelbagai penyakit.
Kedua-duanya mula menjalinkan hubungan percintaan sejak 2019 dan menjalankan beberapa perniagaan bersama.
Antaranya, pasangan itu pernah mengadakan Jelajah Puteri & Bomoh yang menawarkan perkhidmatan meditasi dan rawatan bomoh kepada para peserta.
Kehilangan gelaran diraja pada 2022
Dalam pada itu, Sky News melaporkan bahawa Martha kehilangan gelaran ‘royal highness’ pada 2022.
Ia selepas orang awam mendakwa dia dan Durek menggunakan pertalian dengan keluarga diraja untuk tujuan perniagaan.
Martha seterusnya mengundurkan diri sepenuhnya daripada menjalankan tugas-tugas diraja pada tahun yang sama.
Bagaimanapun, dia dibenarkan untuk mengekalkan gelaran Puteri dengan syarat tidak menggunakannya untuk tujuan perniagaan.
BACA: Unit K-9 Curi Tumpuan, Bergaya Tahun Ini Siap Pakai ‘Spek’
Sumber: Sky News