Terima Kasih Sze Fei-Nur Izzuddin – BAM
Persatuan Badminton Malaysia (BAM) menzahirkan penghargaan terhadap beregu lelaki negara, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Mohd Rumsani selepas segala pengorbanan yang dicurahkan ketika bersama BAM.
Perkara itu dimaklumkan BAM dalam satu kenyataan di Facebook hari ini.
“BAM amat menghargai dedikasi dan pengorbanan Sze Fei dan Nur Izzuddin Rumsani.
“Sumbangan mereka yang tidak ternilai telah membawa penghormatan dan kemuliaan kepada Malaysia, diserlahkan dengan banyak kemenangan kejohanan,” tulis BAM
Tambah BAM, mereka merupakan sebahagian daripada pasukan negara yang berjaya memenangi Badminton Asia 2022.
Sementara itu, Sze Fei dan Izzuddin turut melahirkan rasa sedih kerana meninggalkan badan induk itu selepas bertahun-tahun bersama.
Bagaimanapun, kedua-dua pemain itu berhasrat untuk meneruskan karier mereka sebagai pemain profesional.
“Kami bersyukur dengan peluang yang diberikan BAM. Terima kasih yang tidak terhingga kami ucapkan kepada Tan Sri Norza atas sokongan luar biasa beliau selama ini,” kongsi Sze Fei dan Izzuddin.
Sebelum ini, Setiausaha Agung, Kenny Goh berkata, BAM menghormati keputusan gandingan di kedudukan ke-12 dunia itu untuk meneruskan karier selaku pemain profesional selepas ini, petik Bernama.
“Saya pasti anda telah tahu mereka meminta untuk bergerak secara bebas.
“Jadi selepas perbincangan, kami memahami dan menghormati keputusan mereka untuk meneruskan kerjaya secara profesional dan kami telah bersetuju untuk melepaskan mereka pada 1 Sept,” katanya kepada pemberita selepas mesyuarat Ahli Majlis BAM di Akademi Badminton Malaysia (ABM) pada Sabtu.
Sze Fei yang merupakan anak kelahiran Melaka telah menyertai BAM pada tahun 2010, manakala Izzudin berasal dari Johor merupakan sebahagian prospek kebangsaan pada 2016.
Kedua-dua mereka pertama kali berpasangan pada tahun 2016 sebelum mengumumkan untuk berpisah pada buat seketika pada Januari 2023 sebelum kembali bergabung empat bulan kemudian.
Tidak dinafikan prestasi yang ditampilkan oleh beregu lelaki itu semakin mencanak selepas kemenangan di Kejohanan Master 2023 di Kaoshiung, memenangi pingat perak di Kejohanan Asia 2024 termasuk Juara Terbuka Jepun.
https://www.facebook.com/story.php?story_fbid=1038992901567996&id=100063718863428&rdid=67EKoKvj0rSfVQP1
Sumber: BAM