Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah
Tiada Kategori

12 Buah Bilik Darjah Kabin Diserahkan Kepada SK Cyberjaya, KPM Proaktif Tangani Isu Sekolah Padat

Nurul Naqiyah
12 buah bilik darjah kabin
Sumber : BERNAMA

12 Buah Bilik Darjah Kabin Diserahkan Kepada SK Cyberjaya, KPM Proaktif Tangani Isu Sekolah Padat

CYBERJAYA, 2 September – 12 buah bilik darjah kabin pasang siap termasuk kerja ubah suai berkaitan, pendawaian elektrik, perabot, peralatan dan tandas telah diserahkan kepada SK Cyberjaya, Selangor.

Dalam Majlis Penyerahan Projek Siap Kelas Kabin/Modular IBS SK Cyberjaya yang berlangsung pada hari ini, pihak kontraktor telah menyerahkan simbolik projek siap kepada pihak sekolah dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Sepang, disaksikan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Dato’ Indera Nik Nasarudin bin Mohd Zawawi.

Menurut Nik Nasarudin, projek bernilai lebih RM2 juta ini dapat memberi penyelesaian jangka pendek kepada isu sekolah padat yang dihadapi SK Cyberjaya. Ia dapat memberi keselesaan kepada murid dan guru yang mengikuti proses pengajaran dan pembelajaran (PdP).

Bagi penyelesaian jangka panjang pula, sekolah baharu, iaitu SK Cyberjaya 2 kini sedang berada dalam fasa untuk memulakan pembinaan dan dijangka siap pada tahun 2027. Sekolah baharu yang dilengkapi dengan 36 bilik darjah dan pelbagai kemudahan lain ini dapat membantu menangani isu sekolah padat di Cyberjaya dan di kawasan sekitar.

KPM proaktif mengatasi isu sekolah padat di seluruh negara. Pelbagai pendekatan diambil termasuk menerusi pembinaan bilik darjah kabin, pelaksanaan kelas terapung dan penyuraian murid ke sekolah berhampiran. Pada tahun 2024, Kerajaan telah turut meluluskan pembinaan 26 buah sekolah baharu di seluruh negara.