Ucapan Penuh Makna Lee Chong Wei Sempena Hari Merdeka ‘Jentik’ Hati Ramai
Setiap tahun, kemeriahan sambutan Hari Merdeka tidak pernah gagal mencuri tumpuan seluruh rakyat Malaysia.
Kemeriahan jelas terasa apabila pelbagai lapisan masyarakat mula berkumpul di Dataran Merdeka, menjadikan sambutannya tahun ini lebih istimewa.
Dalam pada itu, legenda badminton negara, Datuk Lee Chong Wei, tidak ketinggalan dalam menitipkan ucapan khas sempena hari bersejarah 31 Ogos tahun ini.
Beliau sekali lagi berjaya mencuri perhatian melalui satu hantaran di Facebook, apabila ucapannya disifatkan sebagai ‘singkat tapi penuh makna’.
https://www.facebook.com/leechongweiofficial/posts/pfbid02iCAq98ErM3TmG6tidxZm6rArsf2KwjsgrDDrtqw782FJ9pY4NVPRipyZNSqkbaKfl?rdid=QbOaveuNO4Yd3nIa
“Hari ini, sambil kita mengibarkan bendera dengan bangga, marilah kita ingat bahawa kekuatan Malaysia terletak pada rakyatnya,” tulis Datuk Lee Chong Wei.
Menurut Datuk Lee Chong Wei, Malaysia berada pada tahap ‘terkuat’ dan akan terus melonjak ke puncak apabila semua kaum bersatu melalui perpaduan, kerja keras serta keyakinan yang tidak pernah goyah terhadap satu sama lain.
“Kita semua bersorak buat M Thinaah dan Pearly Tan. Kita semua menangis buat Azizul. Dan kita semua berdoa ketika Pandelela melakukan lonjakannya.
“Kita akan berjuang seperti tiada hari esok (satu per satu dengan penuh keberanian) apabila ada sesiapa… sesiapa sahaja mengkritik Nasi Lemak, Durian, Laksa, BKT atau Roti Canai kita.
“Terlalu banyak perkara yang kita cintai tentang negara ini. Saya percaya ramai yang pernah mengembara ke luar negara, tetapi selepas 10 hari, pasti akan merindui rumah, cuaca, makanan dan rakyatnya,” katanya.
BACA: Rakyat Bersatu Sokong Jaguh Negara, Chong Wei Bangga Sukan Berjaya Aktifkan Mod ‘Saya Anak Malaysia’
Tambah Datuk Lee Chong Wei, walaupun kita semua mungkin berbeza kaum, kita semua memiliki darah berwarna merah dengan jenis A, B, AB, atau O.
“Yang pasti, darah kita tumpah di tanah air ini,” katanya.
Dalam kesempatan itu, Datuk Lee Chong Wei juga turut berkongsi kisah masa kecilnya yang dianggap kenangan manis sehingga kini.
“Ketika kecil dahulu, saya juga meminati permainan bola sepak. Kami menggunakan kasut sebagai tiang gol. Entah kenapa, formasi permainan kami sudah ditetapkan seperti ‘wahyu’.
“Kawan-kawan Melayu yang lincah ditempatkan sebagai penyerang atau pengatur permainan. Kawan India yang berbakat dalam marathon menjadi pemain sayap. Kawan Cina memainkan peranan sebagai pemain tengah.
“Itulah cara kami bermain bola sepak. Kami berganding bahu untuk meraih kemenangan, sering bermain sehingga lewat malam,” ujar pemenang pingat perak dalam tiga edisi Sukan Olimpik yang kini berusia 41 tahun itu.
BACA: Siap Rap, Pelajar SJKC Raih Perhatian Berlatih Nyanyian Lagu Patriotik
BACA: PM Harap Semangat Jiwa Merdeka, Perpaduan Kekal Berpanjangan
Sumber: Lee Chong Wei via Facebook