Paralimpik Paris 2024: Genggam Pingat Emas, Liek Hou Bakal Terima Ganjaran Lumayan
Berjaya memperoleh pingat emas pertama di Sukan Paralimpik Paris 2024, jaguh badminton para negara, Cheah Liek Hou, bakal menerima ganjaran lumayan.
Kemenangan menerusi acara perseorangan lelaki SU5 (kecacatan fizikal) itu merupakan satu pencapaian yang amat membanggakan.
Lebih-lebih lagi, kemenangan tersebut membolehkannya mempertahankan gelaran juara dalam acara sama, setelah berjaya membawa pulang pingat emas di Tokyo 2022.
Dalam pada itu, Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh menzahirkan ucapan tahniah buat pemain berusia 36 tahun itu menerusi laman Instagramnya.
“Sangat berbangga dengan @cheahliekhou4956 kerana berjaya menghadiahkan emas pertama Malaysia di Paralimpik Paris 2024.
“Sungguh mengagumkan apabila Negaraku dimainkan di Sukan Paralimpik,” katanya.
Beliau turut menjelaskan bahawa Liek Hou akan menerima ganjaran daripada kerajaan sebanyak RM1 juta, selain elaun bulanan menerusi Skim Insentif Sukan Olimpik (SITO) RM5,000 sepanjang hayat.
“Liek Hou, saya tahu bapa awak pasti berbangga dengan awak kerana memenangi emas Paralimpik kedua.
“Ini adalah seorang lagi atlet bertaraf dunia yang sangat maju, kami tidak perlu risau tentang kekuatan mentalnya.
“Terima kasih kerana membanggakan setiap rakyat Malaysia,” tambahnya.
Untuk info, Liek Hou menewaskan wakil Indonesia, Suryo Nugroho 21-13, 21-15 dalam masa 42 minit pada aksi final yang berlangsung di Porte de La Chapelle Arena.
BACA: Liek Hou Raih Pingat Emas Pertama Malaysia Di Sukan Paralimpik Paris 2024
BACA: Paris 2024 Bukan Pengakhiran, Semangat Liek Hou Masih Membara Untuk Berjuang
BACA: RM15 Juta Diperuntuk Jadikan Harimau Malaya Gergasi Bola Sepak Asia
Sumber: Hannah Yeoh