Risikan PERKESO Dedah Isu Kartel
Kuala Lumpur: Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) melalui siasatan dalaman oleh Bahagian Anti Fraud, Etika dan Integriti (AEFI) pada tahun ini telah membongkar kewujudan rangkaian kartel penipuan tuntutan palsu faedah Hilang Upaya Kekal (HUK) yang beroperasi sejak beberapa tahun lalu.
Berikutan siasatan dalaman tersebut, PERKESO telah mengambil inisiatif untuk melaporkan perkara tersebut kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan sejak 2 Julai 2024 telah bekerjasama sepenuhnya dengan SPRM menjalankan Ops Tunjang bagi menumpaskan kartel untutan palsu tersebut.
BACA: Tiga Doktor Ditahan SPRM: KKM Beri Kerjasama
Sehingga kini, SPRM menerusi Ops Tunjang telah memberkas 32 individu termasuk tiga pengamal perubatan pada 3 September 2024, dengan nilai kerugian akibat kegiatan kartel dijangka mencecah lebih RM2 juta. Ops Tunjang akan diteruskan dengan kerjasama SPRM dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) dan PERKESO tidak akan berkompromi serta bertekad untuk memerangi kegiatan kartel sedemikian secara habis-habisan kerana peruntukan faedah perlindungan sosial itu sepatutnya disalurkan kepada pencarum, selain waris keluarga yang betul-betul layak serta memerlukan.
BACA: PM Harap Syarikat Swasta Ikut Contoh Khazanah Tetap Gaji Minimum
Sehubungan itu, Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong, mengarahkan PERKESO mengambil langkah proaktif untuk merombak semula proses membuat tuntutan demi mengelak perkara seperti ini daripada berulang.