Tiga Doktor Ditahan SPRM: KKM Beri Kerjasama
GEORGETOWN — Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memaklumkan akan memberikan kerjasama sepenuhnya terhadap Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) susulan penahanan tiga doktor kanan yang didakwa mempunyai kaitan pemalsuan tuntutan hilang Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) di Pulau Pinang baru-baru ini.
Kementerian itu dalam satu kenyataan berkata pihaknya mengambil maklum tentang perkara yang terjadi.
“KKM sentiasa bersedia untuk memberikan kerjasama yang sepenuhnya kepada SPRM berhubung penahanan tiga doktor awam berkenaan,” maklum KKM dalam satu kenyataan pada Rabu.
Tegas KKM, pihaknya tidak akan bertolak ansur dengan sebarang elemen penyelewengan kuasa yang dilakukan oleh pekerjanya.
“KKM tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan yang sewajarnya bagi memastikan perkhidmatan awam sentiasa berada di tahap yang terbaik,” katanya lagi.
Semalam, seramai 32 individu termasuk tiga pegawai perubatan telah ditahan oleh SPRM Pulau Pinang bagi membantu siasatan berhubung kartel yang dikatakan telah memalsukan tuntutan hilang upaya Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), petik Sinar harian.
Perkara itu disahkan oleh Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki semalam.
Menurut Azam, dua pegawai perubatan kanan hospital kerajaan dan seorang doktor pakar hospital swasta antara yang ditahan.
Difahamkan, ke semua 32 individu itu terdiri daripada 19 pencarum PERKESO, lapan ejen, pegawai perubatan dan dua runner.
“Kebanyakkan pencarum yang ditahan itu bekerja dalam sektor kilang dan pelabuhan di negeri ini dan kami menjangkakan untuk membuat lebih banyak tangkapan ketika siasatan kes itu berjalan.
“Ada antara mereka termasuk doktor akan direman di mahkamah esok manakala yang lain telah dibebaskan selepas direkodkan keterangan mereka,” ujarnya.
https://x.com/KKMPutrajaya/status/1831144239914467639?fbclid=IwY2xjawFEoN9leHRuA2FlbQIxMAABHd4HEaHy1_s4q4AzvRHLq9sLxOiw-t0wCDeWsS1jqjvD-llaT3LLpi_vtg_aem_n7n9Icc_zG8k8q7vMJo_Ug
Sumber: KKM