Buka Pintu Pesawat Ketika Dalam Penerbangan, Lelaki Diarah Bayar RM2.3 Juta
Seorang lelaki di Korea Selatan diperintahkan membayar ganti rugi sebanyak 727 juta won (kira-kira RM 2.3 juta) kepada pengendali syarikat selepas didapati membuka pintu kecemasan ketika pesawat masih di udara.
Menurut portal Korea JoongAng Daily, ia sekaligus termasuk membayar ganti rugi kerosakan harta benda dan kemusnahan yang dilakukan.
Malah, tindakan lelaki yang berusia 32 tahun itu turut menyebabkan gelongsor kecemasan telah terpisah dari pesawat berkenaan.
Dalam kejadian pada 26 Mei 2023 itu, pesawat dalam perjalanan ke Daegu dari Pulau Jeju itu membawa 194 penumpang termasuk lelaki terbabit.
Para penumpang mengalami kesukaran bernafas
Difahamkan, lelaki itu bertindak membuka pintu kecemasan lebih awal semasa pesawat Asiana Airlines sedang bersedia untuk mendarat pada ketinggian kira-kira 213 meter (m) hingga 243m di udara.
Menurut portal Korea JoongAng Daily, seramai 12 penumpang mengalami kesukaran bernafas dan dibawa ke hospital sebaik sahaja pesawat berkenaan berjaya mendarat.
Kementerian Tanah, Infrastruktur dan Pengangkutan menganggarkan kerosakan harta benda bernilai 640 juta won (RM2.07 juta) ketika kejadian.
Lelaki itu melanggar Akta Keselamatan Penerbangan
Dua hari selepas kejadian itu, mahkamah telah meluluskan waran tangkap terhadap lelaki berkenaan.
Dia kemudiannya dibicarakan kerana melanggar Akta Keselamatan Penerbangan.
Difahamkan, pihak pendakwaan memohon hukuman penjara enam tahun ketika perbicaraan pertama lelaki berkenaan pada Oktober lalu.
Mahkamah akhirnya menjatuhkan hukuman tiga tahun, kemudian ditambah selama lima tahun.
Sepanjang perbicaraan berlangsung, pihak pendakwaan turut memfailkan rayuan terhadap kes itu diatas dakwaan telah menyebabkan kecederaan serta trauma kepada 15 penumpang lain.
Video kejadian menjadi tular di media sosial
Terdahulu, media tempatan berkongsi sebuah video pendek yang memaparkan detik-detik cemas ketika insiden tersebut berlaku dari dalam kapal terbang.
Rakaman tersebut menunjukkan tekanan angin kuat memasuki ruangan penumpang ketika masih berada di ruang udara.
Angin kuat tersebut menyebabkan fabrik dan tempat duduk penumpang berserta rambut penumpang berkibaran. Ada juga segelintir penumpang dirakam menjerit kerana terkejut dengan apa yang berlaku.
BACA: Cemas, Viral Penumpang ‘Buka’ Pintu Kecemasan Pesawat Ketika Dalam Penerbangan
Sumber: Korea JoongAng Daily