Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Malaysia Ambil Maklum Laporan Kapal Tentera Laut Asing Di ZEE

Iqbal Yasir
malaysia kapal tentera laut
Gambar: BERNAMA

Malaysia Ambil Maklum Laporan Kapal Tentera Laut Asing Di ZEE

PUTRAJAYA, 9 Sept (Bernama) — Kementerian Luar Negeri Malaysia mengambil maklum laporan baru-baru ini mengenai kehadiran sebuah kapal tentera laut asing berhampiran pelantar minyak luar pesisir di Malaysia.

Bagaimanapun, dalam kenyataan media pada Isnin, kementerian itu berkata ia tidak dapat mengulas mengenai ketepatan atau butiran spesifik berkaitan pergerakan kapal tentera itu, kerana perkara itu berada di bawah pihak berkuasa operasi keselamatan dan pertahanan.

“Pendirian Malaysia mengenai Laut China Selatan kekal konsisten.

“Kami komited untuk mempertahankan kedaulatan, hak kedaulatan dan kepentingan kami di kawasan maritim kami, seperti yang digariskan dalam Peta Malaysia 1979. Kedudukan ini selaras dengan undang-undang antarabangsa, termasuk Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Undang-undang Laut (UNCLOS) 1982,” menurut kenyataan itu.

Sejajar dengan komitmennya untuk mengekalkan Laut China Selatan sebagai rantau keamanan, kestabilan dan perdagangan, Kementerian Luar berkata Malaysia akan terus berhubung secara diplomatik dengan semua negara berkaitan.

“Kami kekal komited untuk menyelesaikan pertikaian melalui cara aman dan mematuhi prinsip yang digariskan dalam Deklarasi Tatalaku Pihak-pihak Berkepentingan di Laut China Selatan (DoC), yang menekankan kepentingan mengelakkan ancaman atau penggunaan kekerasan,” katanya.

Sumber: BERNAMA

BACA: Harimau Malaya Dijangka Lonjak Ke Ranking 131 Dunia