Penglibatan NAFAS Sepanjang MAHA 2024
PETALING JAYA, 10 September 2024 – Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) sekali lagi akan turut serta di Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia, MAHA 2024, yang merupakan acara dwitahunan berlangsung dari 11 hingga 22 september 2024 di MAEPS, Serdang.
Pengurus Besar NAFAS, Muhammad Faris bin Arriffin berkata, penglibatan NAFAS pada penganjuran edisi ke 100 ini akan membawakan pelbagai aktiviti – pameran, jualan produk dan inovasi terbaik, termasuk produk makanan jenama Peladang, baja Peladang, pelbagai input pertanian dan jentera pertanian.
“Jangan lepaskan peluang untuk singgah ke reruai NAFAS yang akan berada di segmen Agro Seed di Dewan A; MAHA Go Global (Hall C); Kingdom of Agrofood (Laman Tiba 1), Laman Padi, Laman Mekanisasi dan NAFAS Cube. NAFAS turut membuka kaunter perkhidmatan Dana Peladang Kebangsaan di segmen Peladang Outlet – Dewan A, MAEPS, Serdang.
“Orang ramai juga berpeluang menyertai pertandingan memancing di NAFAS Cube. Pelbagai aktiviti menarik menanti pengunjung di MAHA 2024, seperti jualan ‘happy hour’ dan uji rasa produk makanan jenama Peladang dan juga aktiviti-aktiviti santai dan permainan interaktif bersama pengunjung di segmen-segmen penglibatan NAFAS” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Mengulas lanjut, beliau berkata, sepanjang penganjuran MAHA 2024, NAFAS akan menampilkan kelainan dengan inovasi dalam sektor baja, pertanian moden, dan produk makanan sejuk beku jenama Peladang. Selain itu, NAFAS akan memperkenalkan pelbagai produk baja berkualiti dan demonstrasi proses pembuatan baja.
Di NAFAS Cube pula, pengunjung akan dapat menikmati hidangan di kafe yang disediakan, menjadikannya lokasi yang sempurna untuk berehat dan bersantai sepanjang pameran. Turut akan diadakan pertandingan memancing.
“Jangan lepaskan peluang anda – jom beramai-ramai kita ke MAHA 2024 dan melihat sendiri pelbagai lagi aktiviti yang pastinya akan memberi pengalaman yang unik dalam penganjuran MAHA pada kali ini. Jumpa anda di sana!
“Penglibatan NAFAS pada MAHA 2024 membuktikan komitmen dalam memajukan sektor pertanian negara, sejajar dengan objektif keterjaminan makanan yang berterusan. Pameran ini turut memberi peluang kepada NAFAS untuk bekerjasama dengan pelbagai pihak dalam memperkenalkan penyelesaian pertanian yang lebih efektif dan lestari,”katanya.
Meraikan 100 tahun penganjuran dengan tema Harvesting Tomorrow Where Dreams Blossom, MAHA 2024 dijangka bakal menarik lebih tiga juta pengunjung sepanjang 12 hari ia berlangsung.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu baru-baru ini berkata, beliau berharap pameran itu akan menjadi platform kepada orang ramai khususnya anak muda, untuk meneroka potensi dan inovasi sektor pertanian, sekali gus memacu daya saing dalam membangunkan ekonomi.
Untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai penglibatan NAFAS di MAHA 2024, orang ramai boleh mengikuti platform media sosial rasmi NAFAS di Facebook, Instagram, X, Threads, dan Tiktok – @nafashq.