Penerusan Kempen MyPELINDUNG Bantu Lindungi Masyarakat Daripada COVID-19
KUALA LUMPUR, 9 September 2024 – Dengan COVID-19 menjadi sebahagian kehidupan harian kita, wajarlah untuk kita terus melindungi diri dan masyarakat kita. Pada tahun ini, Persatuan Kawalan Jangkitan dan Penyakit Berjangkit Malaysia (MyICID), Persatuan Kanser Kebangsaan Malaysia (NCSM), Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia (MRC), dan Diabetes Malaysia (DM) dengan kerjasama Pfizer Malaysia, berbesar hati untuk mengumumkan penerusan kempen MyPELINDUNG.
Dengan tema “Lindungi Malaysia, Sihat Bersama,” kempen ini menekankan kepentingan untuk sentiasa kekal berwaspada, mendapatkan vaksinasi yang terkini, dan mendapatkan rawatan perubatan dengan segera jika disahkan positif COVID-19.
Acara ini turut dihadiri oleh Dato Dr Saunthari Somasundaram, Presiden NCSM, Dato’ Danial Iskandar, Timbalan Setiausaha Agung, MRC, Dr Shaharudeen Bin Kamaludeen, Presiden MyICID; , Dr Mohazmi Bin Mohamed, Setiausaha Agung, DM, dan Puan Deborah Seifert, Ketua Kluster, Pfizer Malaysia, Singapura, Indonesia & Filipina; serta tetamu kehormat lain.
“Hidup bersama COVID-19 kini menjadi sebahagian kehidupan harian kita. Oleh itu, amat penting untuk terus berhati-hati dan mengambil langkah proaktif. Kembali kepada rutin biasa tidak bermaksud kita boleh melupakan pengalaman yang telah dipelajari.
Vaksinasi, pematuhan kepada garis panduan kesihatan, serta mendapatkan nasihat perubatan dengan segera adalah langkah penting untuk memastikan keselamatan diri dan komuniti.” kata Dato’ Danial Iskandar, Timbalan Setiausaha Agung MRC.

Kempen pada tahun ini turut menampilkan beberapa personaliti tempatan yang terkenal dan dihormati yang mewakili pelbagai lapisan masyarakat untuk mempromosikan kesihatan dan keselamatan dalam kehidupan bersama COVID-19. Antaranya adalah:
- Atilia Haron dan Aishah Sinclair yang mewakili generasi sandwich, menekankan kepentingan menjaga anak-anak dan juga ibu bapa mereka, Salamiah Hassan dan Dida Sinclair. Ibu bapa mereka masih terdedah kepada risiko kesan teruk akibat penyakit ini, jadi mereka menegaskan perlunya kewaspadaan dan langkah kesihatan berterusan untuk melindungi semua generasi.
- Dato’ Jalaludin Hassan, seorang pelakon ternama, menekankan mengenai risiko lebih tinggi yang dihadapi oleh warga emas yang mempunyai komplikasi kesihatan sedia ada, dan beliau menggesakan langkah pencegahan tambahan, rawatan tepat pada masanya, dan kewaspadaan berterusan.
- Dr Say Shazril, seorang doktor perubatan yang dipercayai dan bapa kepada tiga anak, memberi fokus terhadap ibu bapa yang ingin melindungi kesihatan anak-anak mereka. Beliau mengetengahkan kepentingan vaksinasi dan langkah pencegahan untuk melindungi kanak-kanak daripada COVID-19 dengan pemahaman bahawa virus ini boleh mengganggu pendidikan, interaksi sosial, dan kesejahteraan mereka secara keseluruhan.
- Fasha Sandha, seorang pelakon terkenal dan juga seorang ibu, mewakili golongan dewasa yang telah mengalami kesan COVID-19 secara terus. Dia berkongsi pengalaman peribadinya tentang bagaimana virus itu mengganggu rancangannya untuk bertemu dengan keluarga semara Hari Raya, dan menggambarkan bagaimana COVID-19 boleh mengubah saat paling berharga secara tiba-tiba, serta kepentingan langkah pencegahan untuk memastikan kesihatan yang berterusan.
- Douglas Lim mewakili para pengembara yang sentiasa mengharungi cabaran perjalanan berkaitan dengan kerja dalam dunia di mana COVID-19 adalah sebahagian daripada kehidupan seharian. Beliau menekankan kepentingan menjaga kesihatan dan mematuhi langkah keselamatan ketika mengembara untuk melindungi diri sendiri dan orang lain bagi memastikan kerja dan tugasan dapat diteruskan dengan lancar.
Personaliti-personaliti berpengaruh ini akan membantu menyampaikan pesanan bahawa perlindungan kesihatan dan keselamatan masih penting dalam dunia bersama dengan COVID-19, dan mereka menangani konflik unik yang dialami oleh lapisan masyarakat yang berbeza.

Vaksin: Perisai Anda Terhadap COVID-19
Vaksin masih kekal sebagai langkah efektif bagi mencegah penyakit teruk, kemasukan ke hospital, dan kematian. Memandangkan virus ini akan kekal menjadi sebahagian daripada kehidupan harian kita, memastikan vaksinasi COVID-19 yang berterusan adalah penting.
Vaksin terbukti berkesan dalam mengurangkan risiko kesan yang teruk, terutamanya dalam kumpulan yang berisiko tinggi seperti warga emas, mereka yang mempunyai masalah kesihatan, dan juga kanak-kanak1,2,3.
“COVID-19 akan kekal bersama kita sama seperti penyakit lain yang kini menjadi sebahagian daripada kehidupan seharian. Namun, ini tidak bermakna kita boleh menjadi alpa. Memastikan anda mendapatkan vaksinasi COVID-19 adalah langkah kritikal dalam mencegah penyakit teruk dan mengurangkan keperluan kemasukan ke hospital, terutamanya dalam kalangan mereka yang berisiko tinggi2,” kata Dr Shaharudeen Bin Kamaludeen, Presiden MyICID.
Rawatan Awal: Langkah Kritikal untuk Golongan Berisiko Tinggi
Bagi mereka yang berusia 60 tahun ke atas dengan komplikasi kesihatan sedia ada seperti diabetes atau penyakit paru-paru kronik, atau faktor risiko lain seperti berat badan berlebihan, risiko penyakit teruk akibat daripada COVID-19 adalah lebih tinggi.
Adalah penting untuk mengambil tindakan segera jika anda atau orang tersayang dalam kategori berisiko tinggi diuji positif COVID-19.
Berunding dengan profesional kesihatan sebaik sahaja simptom COVID-19 muncul atau keputusan ujian positif diterima adalah penting. Pelan tindakan yang teratur dapat memastikan tindak balas yang pantas dan boleh membantu pengurusan penyakit dengan ketara dan memberi ketenangan minda kepada ahli keluarga.
“Rawatan awal, biarlah untuk gejala ringan sekalipun, adalah penting. Pendekatan proaktif ini bukan sahaja membantu menguruskan penyakit dengan lebih berkesan tetapi juga memberi keyakinan dan ketenangan kepada ahli keluarga.
Dalam dunia di mana COVID-19 menjadi sebahagian daripada kehidupan seharian, kita perlu mengiktiraf kepentingan rawatan awal untuk kumpulan berisiko tinggi bagi mengurangkan impak penyakit ini dan melindungi populasi yang paling terdedah,” kata Dato Dr. Saunthari Somasundaram, Presiden NCSM.
Dr. Mohazmi, Setiausaha Agung DM berkata, “Kita perlu ingat bahawa rawatan COVID-19 lebih berkesan apabila dimulakan secepat mungkin selepas diagnosis. Jika anda diuji positif, rawatan yang tersedia boleh mengurangkan risiko penyakit teruk, termasuk kemasukan ke hospital dan kematian. Jangan melengahkan masa—rawatan awal mesti bermula dalam beberapa hari pertama gejala untuk hasil paling berkesan.”

Bertindak Hari Ini: Lindungi Diri Anda dan Orang Tersayang
Kempen MyPELINDUNG boleh terus disertai oleh rakyat Malaysia melalui platform digital, termasuklah melalui halaman Facebook MyPELINDUNG, dan menawarkan kandungan yang menarik dan bermanfaat. Anda boleh melihat siaran langsung yang memaparkan pakar perubatan, kisah-kisah daripada pesakit, dan perbincangan dengan personaliti terkenal bagi menyediakan maklumat penting mengenai hidup dengan COVID-19.
Kempen ini juga akan membawa acara-acara kemasyarakatan bagi menyampaikan maklumat dan sumber penting terus kepada orang ramai.
“Pfizer yakin bahawa kerjasama dapat membawa perubahan positif. Inisiatif MyPELINDUNG mencerminkan komitmen berterusan kami terhadap kesihatan awam. Dengan bekerjasama rapat dengan rakan-rakan kongsi, kami dapat memastikan maklumat dan sumber penjagaan kesihatan yang penting boleh didapati oleh semua rakyat Malaysia.
Bersama, kita boleh membuat perubahan dalam menghadapi cabaran yang berterusan ini,” kata Puan Deborah Seifert, Ketua Kluster, Pfizer Malaysia, Singapura, Indonesia & Filipina.
“MyPELINDUNG akan terus menjadi platform penting untuk mendidik orang ramai dan melibatkan mereka. Kami kekal komited untuk membetulkan maklumat yang salah, menyediakan maklumat yang tepat, dan membantu rakyat Malaysia memahami bagaimana untuk hidup dengan selamat bersama dengan COVID-19.
Pada tahun ini, kami akan menunjukkan bahawa dengan langkah berjaga-jaga yang tepat, kita semua dapat hidup dengan sejahtera dan selamat dalam norma baharu ini,” tambah Puan Deborah Seifert.
Untuk maklumat lanjut mengenai inisiatif MyPELINDUNG dan usaha menentang COVID-19, sila layari https://www.facebook.com/MyPELINDUNG. Mari kita bersama-sama bina Malaysia yang lebih sihat dan selamat untuk semua.