“Rindu..,” Nukilan Pilu Bapa Bayi Maut Di Taska Buat Ramai Sebak
Sebak, hilang arah tuju. Itulah yang dirasai apabila kehilangan insan tersayang. Apatah lagi apabila pemergian itu tanpa diduga, meluluhkan hati sesiapa sahaja yang melaluinya.
Seperti yang dialami oleh pasangan suami isteri yang baru kehilangan cahaya mata mereka. Mejar Ir TS Mohd Fikry Amri Abd Halim dan Sabrina Hakiem Zaini menanti selama 13 tahun untuk mendapatkan zuriat. Namun, mereka terpaksa menerima hakikat apabila satu-satunya anak yang ditatang, Muhammad Al Fateh Amri Mohd Fikry Amri telah dijemput Ilahi.
Baru-baru ini, si kecil yang baru menginjak usia lapan bulan itu dilaporkan meninggal dunia di sebuah taman asuhan kanak-kanak (taska) akibat lemas.
BACA: Punca Kematian Bayi Di Taska Akibat Lemas – Polis
Lebih memilukan, Sabrina sendiri terpaksa memangku Al Fateh yang sudah tidak sedarkan diri ke hospital apabila menerima perkhabaran tersebut daripada pihak taska. Hati ibu mana yang tidak luluh apabila melihat kulit mulus si kecil bertukar kebiruan setelah meletakkan kepercayaan kepada seseorang untuk menjaganya.
Belum sempat melihat anakanda melangkah, pasangan ini terpaksa menerima hakikat pemergiannya.
Menerusi kiriman terbaru di laman Facebook, Fikry meluahkan rasa pilu dan kerinduannya terhadap keletah dan gelak tawa anak tunggalnya itu. Setiap rakaman yang dimuat naik menunjukkan ketawa girang si kecil, yang sangat comel dan manja.
BACA: Pengasuh Direman Tujuh Hari Bantu Kes Kematian Bayi
“Daddy mummy rindukan gelak tawa Muhammad Al Fateh Amri. Tunggu kami di pintu syurga nanti, anakku,” luah si bapa.
Walau meratapi pemergian si kecil, Fikry turut menyatakan kesyukuran kerana dikurniakan cahaya mata walau hanya seketika.
“Di akhirat nanti boleh bawa daddy mummy masuk syurga sama-sama. Al Fateh main dulu dengan anak-anak syurga yang lain.
“Allah pinjamkan Al Fateh kepada kami untuk lapan bulan. Kami sangat bersyukur. Pemergianmu bukan satu kehilangan tapi menjadi asbab untuk kami jadi lebih baik. Al Fatihah,” ujarnya lagi.
Dalam satu kiriman yang lain, Fikry juga berkata dia dan isteri akan menuntut bela di atas kematian anak mereka.
“Saya akan ambil tindakan undang – undang yang maksimum supaya menjadi pengajaran dan iktibar kepada pengasuh dan pengusaha Taska yang lain agar mematuhi SOP dan peraturan yang ditetapkan,” katanya.
Sumber: Mohd Fikry Amri via Facebook