Runtuh Menyembah Bumi, Tular Detik Bumbung Stadium Shah Alam Dirobohkan
Setelah 30 tahun berdiri utuh di ibu negeri Selangor, hari ini warga maya berpeluang menyaksikan runtuhnya bumbung Stadium Shah Alam menerusi sebuah video yang tular di media sosial.
Stadium yang dulunya dapat menempatkan seramai 80,372 orang itu mula memasuki fasa perobohan yang baru petang tadi selepas bumbung stadium dirobohkan.
Menerusi sebuah video yang tular di media sosial, kelihatan bumbung stadium berkenaan dirobohkan sekaligus. Pemandangan luar biasa diikuti bunyi runtuhan yang kuat itu kelihatan agak menyeramkan.
BACA: Leia Mayssa Wakil Malaysia & Asia Tenggara Ke Kem Matematik Antarabangsa
Serpihan bumbung yang tercabut dan melayang hingga ke kawasan padang turut menambah ‘kengerian’ keadaan tersebut.
Warga maya membanjiri ruangan komen dengan pelbagai reaksi, khususnya mereka yang menggamit kenangan pernah menjejakkan kaki di situ.
@izue_salam The control demolition of Shah Alam stadium roof.. lepas ni Shah alam akan ada stadium baru yang lebih hebat.. #stadiumshahalam #kitaselangor
“(Bunyi) macam tepukan gemuruh,” ujar seorang warga maya.
“Aku seorang ke yang dengar macam orang bersorak? Aura Red Giant masih ada lagi tu,” kata warga maya.
“Pertama kali datang Stadium Shah Alam, melekat bangku plastik dekat muka. Piala FA 2005, Selangor lawan Perak,” kenang seorang warga maya.
“Banyak kenangan ku di sini,” kata warga maya lagi.
“2008 pernah main dekat sini,” kenang seorang lagi.
“Habis dah kelopak mata menangis,” seloroh yang lain.
BACA: Liga Premier Tidak Akan Dikembalikan Tahun Depan – Rossi
Terdahulu, Sinar Harian melaporkan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) telah mengeluarkan kelulusan kebenaran merobohkan stadium berkenaan pada Disember lalu. Mengikut perancangan, stadium ini bakal digantikan dengan Kompleks Sukan Shah Alam (KSSA) yang merangkumi tiga fasa.
Fasa pertama dimulakan dengan perobohan stadium lama dan digantikan dengan stadium yang baru, meliputi ruang perniagaan dan tempat letak kereta. Fasa ini dijangka siap menjelang 2026.
Fasa kedua pula melibatkan pembinaan teater tertutup, sayap sukan dan belia serta kawasan rekreasi manakala fasa terakhir membabitkan pembinaan terminal bersepadu dan hotel.
Untuk pengetahuan, stesen LRT bagi Laluan Shah Alam (LRT3) telah pun dibina berhampiran kawasan Stadium Shah Alam dan dijangka mula beroperasi awal 2025.
Sumber: izue_salam, Bernama
BACA: Lampu Amaran Masih Menyala Walau Dah Turunkan “Hand Brake”? Ini Puncanya