19 Individu Termasuk CEO GISB Ditahan Reman Seminggu
SHAH ALAM, 19 Sept (Bernama) — Ketua Pegawai Eksekutif Global Ikhwan Services and Business Holdings (GISBH) serta isteri antara 19 individu yang ditahan reman selama tujuh hari bermula hari ini untuk membantu siasatan.
Permohonan reman ke atas kesemua individu berusia lingkungan 25 hingga 65 tahun itu dibuat di hadapan Majistret Wan Noora Nisa Ngadirin dan mereka ditahan di lokap berpusat Ibu Pejabat Daerah Shah Alam.
Kesemua individu, yang terdiri daripada 12 lelaki dan tujuh wanita termasuk beberapa pemimpin GISBH, tiba di Bangunan Mahkamah Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini pada 2.50 petang.
Terdahulu, Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain berkata kesemua individu antaranya anak bekas pengasas Al-Arqam ditahan menerusi Op Global awal pagi tadi.
Beliau berkata hasil koordinasi operasi bersama Bahagian D8 Bukit Aman, Pasukan Khas Siasatan Bersepadu daripada Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) D14 Bukit Aman telah membuat pemeriksaan serentak di empat unit kediaman di Tower A, Berjaya Times Square 1, Jalan Imbi, Bukit Bintang di Kuala Lumpur pada 5.40 pagi.
Minggu lepas, JSJ Bukit Aman yang menyerbu 20 rumah amal di Selangor dan Negeri Sembilan yang dikaitkan dengan GISBH, menyelamatkan 402 kanak-kanak serta remaja masing-masing 201 lelaki dan 201 perempuan berumur setahun hingga 17 tahun.
Razarudin sebelum ini memaklumkan ujian saringan kesihatan terhadap 392 kanak-kanak yang diselamatkan dari rumah amal GISBH dalam Op Global itu mendapati mereka mengalami penderaan fizikal dan emosi serta eksploitasi buruh termasuk dipaksa menjual barang.
Pada Selasa, Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim menitahkan Polis Diraja Malaysia supaya menjalankan siasatan segera dan menyeluruh berkaitan isu jenayah serta penganiayaan kanak-kanak yang dikaitkan dengan rumah amal GISBH.
BACA: CEO GISBH, Isteri Dan Anak Bekas Pemimpin Al-Arqam Antara 19 Ditahan Polis
Sumber: BERNAMA