Solat Jumaat Di Surau Al-Muttaqin Pada 13 September Tidak Sah – Mufti Pulau Pinang
Solat Jumaat yang diadakan di Surau Al-Muttaqin, Sungai Ara di Bayan Lepas, Pulau Pinang pada 13 September lalu adalah tidak sah kerana tidak memenuhi syarat khutbah.
Perkara berkenaan dimaklumkan oleh pengurusan surau itu sendiri melalui satu hantaran di Facebook, sebentar tadi.
Memetik hantaran berkenaan, Mufti Pulau Pinang, Prof Madya Datuk Dr Mohd Sukki Othman berkata, syarat yang tidak dipenuhi menurut Mazhab Syafie adalah apabila khatib terlupa untuk duduk antara dua khutbah.
Tidak sah kerana khatib tidak duduk antara dua khutbah
Oleh itu, jemaah yang mendirikan Solat Jumaat di surau berkenaan pada tarikh tersebut wajib menunaikan solat Zohor secara qada dan boleh dilaksanakan secara berjemaah.
Ia bagi menggantikan solat Jumaat berkenaan yang tidak sah.
https://www.facebook.com/SurauAlMuttaqinSgAra/posts/pfbid0YUz7N4xnAYJwy1HLhWhBVrgNgR8Vv2BqsSewCpJnGsRZ1rqExK7ishusBLJeCShel
Jemaah yang solat Jumaat di surau berkenaan pada tarikh tersebut wajib qada solat Zuhur
Dalam pada itu, pengurusan surau berkenaan juga meminta kepada semua jemaah surau itu untuk memaklumkan perkembangan tersebut kepada keluarga dan kenalan masing-masing.
Lebih-lebih lagi kepada mereka yang mendirikan solat Jumaat pada 13 September di surau berkenaan.
Pengurusan berkenaan seterusnya turut memohon maaf bagi pihak imam, pegawai-pegawai dan AJK surau berkenaan berhubung perkara tersebut.
Malah, SOP Surau Al-Muttaqin juga akan disemak dan dibaiki untuk memastikan rukun-rukun dan syarat-syarat khutbah serta Solat Jumaat sentiasa dipenuhi.
BACA: Nyawa Hujung Tanduk, Lelaki Cemas Tergelincir & Menggelongsor Saat Daki Gunung