Siakap Keli
mi kari chinese style
Kredit: Dora Norlaily KJ

Kecur Air Liur, Ini Resipi Mi Kari Chinese Style

Artikel ini diolah & diterbitkan ke Siakap Keli dengan kebenaran dari sumber asal.

Kecur Air Liur, Ini Resipi Mi Kari Chinese Style

Cuti sekolah tiba lagi. Pasti ramai antara anda sudah merancang perjalanan untuk melancong bersama anak-anak. Apabila melancong, sudah tentu anda mengharapkan untuk dapat merasa hidangan masakan tempatan yang asli.

Umum mengetahui, setiap daerah dan tempat mempunyai masakan yang tersendiri. Jika bertandang ke majlis perkahwinan di Kedah, pastinya anda disajikan dengan gulai batang pisang yang dimasak di dalam kawah. Manakala jika melancong di Terengganu pula, semestinya anda tidak mahu melepaskan peluang merasa keropok lekor asli yang padat dengan isi ikan.

Jangan tak tahu, di Ipoh juga ada masakan yang sinonim dengan warga tempatan di sana. Mi kari ala masakan cina, satu hidangan yang mampu membuat anda teringat-ingat setelah pulang dari lawatan ke sana.

Tetapi, bagaimana pula jika anda langsung tidak berpeluang ke sana di musim cuti sekolah kali ini?

BACA: Rangup Di Luar Berlemak Di Dalam, Ini Resipi Creamy Crab Croquette

Jangan risau, SK kan ada. Kali ini, SK ingin kongsikan resipi mi kari yang dijamin sama rasanya seperti mi kari di Ipoh. Ikuti perkongsian resipi lengkap mi kari ala masakan Cina Ipoh daripada Dora Nurlaily KJ di bawah.

Resipi mi kari Ipoh, Chinese style

Untuk memudahkan proses memasak, sediakan bahan-bahan berikut dalam tiga bahagian berasingan.

Anda boleh mulakan dengan sediakan bahan untuk membuat kuah. Bersihkan empat labu bawang merah, tiga ulas bawang putih dan satu genggam ikan bilis. Kalau genggaman anda kecil boleh juga lebihkan kuantiti ikan bilis. Kesemua bahan ini perlu dikisar halus.

mi kari chinese
Kredit: Dora Norlaily KJ

Anda tak perlu asingkan, kisar sahaja kesemua bahan ini bersama-sama. Pastikan ikan bilis cukup halus kisarannya. Jika tidak, ketulan isi ikan bilis akan membuatkan kuah anda tak sedap dihirup. Pastikan juga air yang digunakan untuk mengisar tidak terlalu banyak.

Siang sebatang serai kemudian titikkan.

Setelah siap, ketepikan semua bahan seketika untuk sediakan bahan tumisan pula. Sediakan empat sudu besar rempah kari ikan, satu sudu besar cili kisar dan satu kotak santan. Untuk cili kisar, anda boleh sesuaikan kepedasan mengikut citarasa masing-masing.

BACA: Mudah & Cepat Siap, Ini Resipi Roti Kaya Bakar Ala Kopitiam

Kemudian, nyahbeku semua jenis bebola ikan dan fish cake kegemaran anda. Anda juga boleh sediakan tauhu kosong dan wantan goreng. Sesetengah kedai tidak gunakan nama tauhu kosong, jadi jangan panik. Tauhu ini turut dipanggil dengan nama tauhu lampung, tauhu kering atau tauhu pok.

Bagi menyeimbangkan rasa mi kari, anda perlukan dua ketul kiub pati ayam, garam, gula dan serbuk perasa.

Sediakan juga taugeh segar dan daun bawang sebagai bahan hiasan. Taugeh tidak perlu dicelur, anda cuma perlu bersihkan dan rendam dalam air supaya taugeh kekal segar.

Masa untuk memasak

Pertama sekali, panaskan minyak dalam periuk dan tumis serai hingga naik bau. Pesanan yang dititip oleh Nurlaily, gunakan sedikit sahaja minyak untuk menumis. Ini kerana kuah yang penuh dengan minyak akan membuatkan anda cepat muak apabila dimakan bersama mi.

Setelah itu, masukkan pula semua bahan kisar tadi. Tumis sehingga pecah minyak. Kemudian, masukkan rempah kari ikan dan cili kisar yang sudah dibancuh dengan air suam. Tumis kesemua bahan ini sehingga air kering. Hati-hati, jangan pula dibiarkan bahan tumisan hangit.

Kredit: Dora Norlaily KJ

BACA: Resipi Roti Mayonis Keju Tarik, Ringkas Dan Menyelerakan

Menurut Nurlaily, rempah tadi perlu ditumis sebanyak tiga kali. Caranya begini. Setelah tumisan kali pertama tadi kering airnya, tambah semula air dan tumis sehingga kering sekali lagi. Ulang cara ini sekali lagi. Tak perlu tambah air dengan banyak, cukup dengan suku hingga separuh cawan sahaja.

Apabila air sudah kering, tambah lagi air secukupnya bersama santan, kiub pati ayam, garam dan gula secukup rasa. Masukkan juga kesemua bebola ikan, fish cake dan tauhu. Masak hingga mendidih.

Sementara menunggu kuah mendidih, celur mi kuning dan toskan. Tutup api apabila kuah tadi mendidih. Mi kari Ipoh Chinese style, siap. Hidangkan mi kari bersama wantan atau fucuk ikan goreng.

Jika kuah anda nampak cair, jangan risau. Itu tandanya kuah mi kari anda menjadi, asalkan cukup rasa rempah dan santannya. Yakin dengan deria rasa anda.

Selamat mencuba.

Sumber: Dora Nurlaily KJ via Kumpulan Facebook Masak Apa Hari Ini

Azizah Najib

Menulis tanpa henti

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.