Rangup Di Luar Berlemak Di Dalam, Ini Resipi Creamy Crab Croquette
Cuti hujung minggu yang panjang pastinya membuatkan para ibu mula berserabut memikirkan menu yang ingin dihidangkan kepada anak-anak. Jangan risau, SK ada menu baru untuk dicuba.
Perkongsian resipi ini daripada Eqah Syafieqah yang dikongsikan menerusi Kumpulan Facebook Masak Apa Hari Ini.
Bahan utama untuk resipi bebola ketam ini pastinya isi ketam. Sebagai bahan tambahan, sediakan seketul bawang merah yang dipotong dadu, daun bawang, dan satu kiub pati ayam.
Untuk bahan membuat krim pula, sediakan tiga hingga empat sudu tepung gandum, setengah ketul besar mentega, dan sedikit susu penuh krim. Untuk jadikan bebola ketam ini rangup, anda cuma perlukan telur dan serbuk roti.
BACA: Warna Memikat Selera, Ini Resipi Bubur Candil Keledek Ungu
Mari kita mula buat inti bebola ketam.
Resipi bebola ketam berkrim, Creamy Crab Croquette
Selepas dinyahbeku isi ketam, rebus dahulu sebelum dipotong halus-halus. Selepas itu, masukkan isi ketam ke dalam mangkuk. Gaul bersama bawang merah serta hirisan daun bawang. Kemudian, masukkan seketul kiub pati ayam dan gaul sehingga sebati. Tinggalkan isi ketam tadi seketika.
Mari kita buat krim bebola ketam pula.
Panaskan mentega sehingga betul-betul cair. Kemudian, masukkan tepung gandum sedikit demi sedikit sambil dikacau bersama mentega tadi. Kacau adunan tadi sehingga pekat.
Setelah adunan menjadi pekat, masukkan semua sekali isi ketam yang sudah dipotong halus. Gaul hingga rata isi ketam bersama krim pekat tadi. Dah siap intinya. Ketepikan dulu sementara kita buat salutan untuk bebola ketam.
BACA: Anak Payah Nak Telan Sayur, Ini Resipi ‘Pizza Nasi’ Yang Mampu Pikat Selera “Baby”
Tuang serbuk roti dalam mangkuk. Kemudian, pecahkan sebiji telur dalam mangkuk. Kacau hingga kuning telur pecah dan sebati dengan putih telur.
Ambil isi ketam dan bentukkan menjadi bulat. Kemudian, celup bebola dalam telur dan serbuk roti bergilir-gilir, beberapa kali hingga salutan menjadi tebal.
Penting untuk pastikan salutan serbuk roti tebal sedikit supaya bebola ketam menjadi lebih padat dan tidak pecah ketika digoreng.
BACA: Resipi Roti Mayonis Keju Tarik, Ringkas Dan Menyelerakan
Bebola ketam dah siap.
Tapi nanti dulu. Bebola ketam yang baru siap perlu disejukkan terlebih dahulu. Masukkan bebola ketam dalam peti sejuk bahagian chiller selama satu hingga dua jam untuk pastikan bebola tidak lembik ketika digoreng.
Selepas itu, bebola ketam sudah boleh digoreng.
Panaskan minyak dalam kuali, kemudian goreng bebola ketam sehingga nampak garing, kekuningan. Pastikan minyak betul-betul panas dahulu sebelum masukkan bebola.
Setelah bebola nampak kekuningan, angkat bebola dan toskan minyak. Dah boleh dihidang untuk dimakan bersama anak-anak. Bebola ketam lembut berkrim ini boleh juga dimakan begitu saja.
Selamat mencuba.