Menjaga pemakanan bukan bermaksud seseorang perlu mengetepikan hidangan kegemaran, sebaliknya boleh dimulakan dengan mengubah cara penyediaan makanan.
Antaranya dengan mengurangkan penggunaan minyak ketika memasak dan memilih kaedah yang lebih sesuai untuk hidangan harian.
Bagi yang gemarkan masakan pedas, ayam sambal balado versi kurang minyak ini boleh dijadikan salah satu pilihan untuk dicuba.
Resipi ini turut dikongsikan oleh seorang pengguna Threads, @ansrzll_, yang mengambil keputusan untuk kembali mengamalkan pemakanan lebih sihat selepas menyedari badannya mula menunjukkan tanda-tanda kurang selesa.
“Okeylah, cukuplah tu makan makanan barat dengan goreng-goreng. Badan dah mula bagi tanda rasa tak sedap,” tulisnya.
Ikuti resipinya di bawah ini.

Bahan-bahan rebusan ayam:
5 ketul ayam
2 batang serai (diketuk)
1 inci halia (dihiris)
1 sudu teh garam
Bahan kisar untuk sambal (untuk 8 ketul ayam):
2 biji bawang besar
4 ulas bawang putih
5 biji cili merah besar
6 biji cili padi merah
10 biji cili burung hijau
Bahan-bahan lain untuk sambal:
1 sudu teh garam
½ sudu besar asam Jawa Extra Adabi
½ kiub ayam
¾ gula nise bersaiz bulat besar
Cara penyediaan:
Sediakan air untuk merebus ayam. Masukkan serai, halia dan garam secukupnya. Rebus ayam selama 10 hingga 15 minit sehingga separuh masak.

Kemudian, panaskan minyak dalam kuali untuk menyediakan sambal balado. Masukkan satu senduk kecil minyak. Jika tidak mencukupi, boleh tambah sedikit. Minyak tidak perlu terlalu banyak seperti memasak sambal biasa.
Masukkan bahan yang telah dikisar ke dalam minyak. Tambahkan garam dan asam jawa, kemudian kacau sehingga sebati.
Masukkan ayam bersama serai dan halia daripada air rebusan tadi ke dalam sambal. Buang air rebusan tersebut. Tambahkan kiub pati ayam, kemudian biarkan ayam masak bersama sambal dalam keadaan kuali bertutup.
Apabila air mula berkurangan dan sambal masih sedikit berair, masukkan gula melaka yang telah dipatah-patahkan supaya mudah larut. Kacau sehingga gula sebati dengan sambal.

Sebelum menutup api, pastikan air sambal sudah kering. Periksa dan sesuaikan rasa supaya seimbang antara masin, masam dan manis. Apabila rasanya sudah sesuai dan sambal kelihatan cantik, tutup api dan sedia untuk dihidangkan.
Tidak perlu goreng ayam, tetap sedap dimakan
Menerusi perkongsian sama, dia menjelaskan bahawa ayam sambal balado yang disediakan menggunakan kaedah berbeza daripada kebiasaan apabila ayam direbus separuh masak terlebih dahulu sebelum dimasak bersama sambal.
“Saya dah kembali makan tengah hari solehah. Nama masakan ni Ayam Sambal Balado. Daripada goreng ayam, saya rebus separuh masak. Lepas tu sambung masak ayam dalam sambal balado. Untuk yang nak cuba, saya janji sedap je kelainan masak ayam camni,” ujarnya.
Kaedah ini membolehkan ayam dimasak terus bersama sambal tanpa perlu digoreng terlebih dahulu, sekali gus mengurangkan penggunaan minyak dalam penyediaannya.
Untuk mendapatkan tubuh badan yang lebih sihat, perubahan kecil seperti mengawal pengambilan minyak dan memilih bahan masakan yang lebih seimbang boleh dijadikan langkah permulaan.
Paling penting, amalkan pemakanan yang sihat secara konsisten tanpa mengabaikan keperluan nutrisi harian.

