Warna Memikat Selera, Ini Resipi Bubur Candil Keledek Ungu
Malaysia merupakan negara yang kaya dengan pelbagai jenis ubi. Selain ubi kayu, ubi keledek, ubi lekir dan ubi gadong juga boleh didapati dengan mudah.
Walaupun begitu, masih banyak ubi-ubian yang diimport dari negara luar, antaranya ubi keledek ungu. Menurut Hello Doktor, ubi keledek ungu mempunyai karotenoid iaitu sebatian yang menjadi vitamin A dalam badan. Ubi ini juga mengandungi sebatian yang bersifat antioksidan. Malah, ubi keledek juga baik untuk ibu mengandung bagi memastikan janin membesar dengan sihat.
Ubi keledek ungu bukan sahaja cantik warnanya, malah ubi ini mempunyai rasa manis yang tersendiri. Ciri-ciri ini membuatkan ubi keledek ungu diolah menjadi bermacam kuih dan pemanis mulut seperti kuih keria, pengat atau dikukus dan dimakan bersama kelapa parut seperti kuih sagu merah.
Kali ini, SK kongsikan kepada anda satu resipi istimewa yang dibawa dari Tanah Seberang yang menggunakan ubi keledek ungu. Bagi orang Jawa, hidangan ini dipanggil bubur candil. Ikuti perkongsian Nor Haidah Md Said yang menyajikan hidangan berwarna ceria dari ubi kayu ungu di bawah.
Bahan-bahan resipi bubur candil
Menurut resipi yang dikongsikan, wanita ini menggunakan satu kilogram ubi keledek ungu dan dua cawan isi jagung sebagai bahan utama. Untuk menghasilkan kuah yang pekat melikat, sediakan pula tujuh hingga lapan sudu besar tepung ubi, 500 mililiter santan pekat dan kira-kira 400 mililiter air.
Memandangkan ubi keledek ungu mempunyai rasa manis yang kuat, anda boleh juga jadikan bubur candil anda ada sedikit campuran rasa dan aroma. Untuk itu, sediakan secubit garam, gula melaka dan dua helai daun pandan. Jika dapur anda kehabisan gula melaka, boleh juga anda gantikan dengan gula putih.
Cara masak bubur candil
Seperti kebiasaan resipi ubi-ubian, rebus ubi keledek ungu sehingga empuk. Untuk mengetahui jika ubi sudah empuk atau belum, cucuk garfu pada ubi tanpa mengeluarkannya dari periuk. Garfu akan mudah dicucuk dengan dalam jika ubi telah empuk sepenuhnya. Setelah ubi empuk, lenyek ubi dalam besen besar dan ketepikan dahulu.
Masukkan air ke dalam periuk yang lain dan masak sehingga mendidih. Sementara itu, ambil ubi yang sudah dilenyek tadi. Masukkan tepung sedikit demi sedikit dalam besen sambil menguli campuran itu menjadi doh. Pastikan ubi tidak menjadi pecah apabila dibentuk. Setelah siap, gentel doh ubi tadi menjadi bentuk bulat. Saiz kecil atau besar terpulang kepada citarasa masing-masing.
BACA: Durian Brûlée: Pemanis Mulut ‘Teatime’ Ala Paris
Sambil menggentel doh ubi, jangan dilupa air di atas dapur tadi. Apabila air sudah mendidih, bolehlah anda masukkan ketulan doh ubi untuk direbus. Doh ubi yang terapung menandakan ia sudah masak dan boleh diangkat.
Masa untuk doh ubi menjadi bubur.
Dengan menggunakan periuk lain, masukkan santan, daun pandan, secubit garam dan gula secukupnya. Sambil memasak santan, masukkan pula doh ubi yang sudah dimasak tadi bersama isi jagung. Masak sehingga santan mendidih, kemudian tutup api.
BACA: Wajib Cuba, Wanita Kongsi Petua Anti Gagal Tanam Jagung Sendiri
Bubur candil berwarna-warni, siap.
Hidangkan semangkuk keceriaan di hujung minggu anda dengan bubur candil kenyal berlemak. Selamat menjamu selera.
Sumber: Nor Haidah Md Said via Orang Muo, Hello Doktor (1) (2)