Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Kenali Adat Menitik Mata Singa, Upacara Khas Sebelum Persembahan Tarian Singa

Aina Munirah
adat menitik mata singa
Kredit: Pemetaan Budaya JKKN

Kenali Adat Menitik Mata Singa, Upacara Khas Sebelum Persembahan Tarian Singa

Umum mengetahui bahawa Malaysia merupakan sebuah negara yang kaya dengan kepelbagaian budaya dan adat dari kaum-kaum seperti Melayu, Cina, India, Kadazan dan sebagainya.

Oleh yang demikian, kepelbagaian kaum ini menjadikan setiap perayaan disambut dengan sangat meriah.

Bagi masyarakat Cina, sambutan Tahun Baharu Cina sudah tentu antara perayaan yang paling dinantikan saban tahun.

Memandangkan sambutannya juga sudah tidak lama lagi, tentunya masyarakat Cina sudah mula melakukan persiapan.

Malah, kumpulan-kumpulan yang melakukan persembahan tarian singa juga sudah tentu telah melakukan persiapan yang rapi dari segi susun atur persembahan, pergerakan, dan sebagainya.

Biasanya, setiap kali sambutan Tahun Baharu Cina, upacara tarian singa pasti akan menjadi tumpuan hangat.

Dari pergerakannya yang lincah hingga bunyi paluan gendang yang turut sama mengiringi, segalanya bersatu demi menghasilkan persembahan yang memukau penonton.

Namun, tahukah anda bahawa sebelum tarian singa ini dipersembahkan kepada umum, satu adat atau upacara perlu dilakukan terlebih dahulu?

Jadi hari ini, jom kita telusuri salah satu adat yang sering dilakukan sebelum persembahan tarian singa dipersembahkan iaitu upacara menitik mata singa.

Kenali adat menitik mata singa

Adat resam menitik mata singa dalam tarian singa adalah salah satu tradisi kaum Cina yang sering dipersembahkan terutamanya pada musim-musim perayaan seperti Tahun Baharu Cina, majlis-majlis kebudayaan, keagamaan, perasmian rumah atau kedai baharu, serta majlis perkahwinan.

Terdapat dua jenis tarian singa iaitu Singa Utara dan Singa Selatan. Di Malaysia, tarian Singa Selatan sering menjadi pilihan kerana ia lebih dikenali dan membawa kegembiraan dalam sesuatu majlis.

Kebiasaannya, tujuan upacara ini dilakukan adalah untuk membawa tuah atau 'ong' dan mengelakkan bala sewaktu persembahan dilakukan.

Fungsi & Peranan

Dalam konteks sambutan perayaan dan majlis perniagaan kaum Cina pula, ia dilakukan bagi mengundang tuah dan keuntungan nasib.

Adat ini juga merupakan satu adat yang dikatakan mampu membangkitkan semangat singa, membawa ong yang baik, memanggil kemewahan, kesihatan, keharmonian dan kebahagian serta menghalau kejahatan.

Peralatan yang digunakan

  • Kostum singa

  • Berus putih

  • Riben merah

  • Loceng

  • Limau bali

  • Halia

  • Serbuk merah

  • Gendang

Kaedah

Biasanya, persembahan tarian singa mengambil masa hampir seminggu dan masa persembahannya juga tertakluk kepada musim perayaan.

Jadi, upacara menitik mata singa ini biasanya dilakukan oleh ketua kumpulan atau penaja kepada tarian singa tersebut.

Setiap satu bahan yang diperlukan sebelum upacara juga mempunyai simbolik yang tersendiri. Misalnya, halia tua dipercayai mampu menyihatkan tubuh badan dan memanjangkan umur.

Selain itu, cinnabar ataupun serbuk merah digunakan berserta dengan cawan merah. Tujuannya, untuk membawa kekuatan dan nasib yang baik.

cinnabar
Kredit: Pemetaan Budaya JKKN
menyapu serbuk merah
Kredit: Pemetaan Budaya JKKN

Reben merah juga dikatakan bertujuan untuk memberi pangkat kepada tarian singa dan menjadi lambang untuk menahan sifat liar singa.

mengikat reben merah
Kredit: Pemetaan Budaya JKKN

Seterusnya, sayur selada yang merupakan makanan yang diberikan kepada singa. Ia disebut sebagai "sang sang mang mang" yang bermaksud hidup mewah.

Kain merah juga digunakan untuk membawa 'ong' atau nasib yang baik. Akhir sekali, daun limau purut juga turut digunakan bagi membuang nasib malang dan kejahatan.

Kesimpulannya, adat dan budaya yang diamalkan di negara ini sewajarnya terus dikenali untuk generasi yang akan datang.