Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Kenali Urumee Melam, Gendang Khas Iringi Perarakan Thaipusam

Aina Munirah
urumee melam
Kredit: Pemetaan Budaya JKKN

Kenali Urumee Melam, Gendang Khas Iringi Perarakan Thaipusam

Umum mengetahui Malaysia merupakan sebuah negara yang kaya dengan kepelbagaian adat dan budaya dari kaum-kaum seperti Melayu, Cina, India, Iban, Kadazan dan sebagainya.

Oleh yang demikian, kepelbagaian kaum dan masyarakat yang ada di negara ini menjadikan setiap perayaan dan festival disambut dengan sangat meriah.

Bagi penganut agama Hindu, antara perayaan yang disambut ialah Thaipusam dan Deepavali.

Memandangkan perayaan Thaipusam tahun ini disambut pada 1 Februari (Ahad), penganut agama Hindu telah mula memeriahkan suasana dengan perarakan ke kuil terdekat.

Biasanya, perarakan ini bukan hanya sebuah perarakan biasa. Ia turut dihiasi dengan pelbagai lagu-lagu atau sorakan dan diiringi bunyi-bunyian dari instrumen khas.

Pasti ada yang tertanya-tanya mengenai instrumen atau alat muzik yang digunakan sepanjang perarakan ini berlangsung.

Jadi hari ini, jom kita kenali salah satu alat muzik khas yang sering dimainkan sewaktu perarakan Thaipusam iaitu Urumee Melam.

Kenali gendang Urumee Melam

Untuk pengetahuan, Urumee Melam merupakan alat seni gendang tradisional yang berasal daripada warisan budaya masyarakat di India Selatan, khususnya dari wilayah Tamil Nadu.

Ia juga tergolong dalam kategori alat membranofon, iaitu sejenis alat muzik yang menghasilkan bunyi melalui getaran membran atau kulit yang direntangkan.

Urumee Melam mempunyai badan berbentuk silinder yang diperbuat daripada kayu atau logam dan kedua-dua hujungnya dilitupi dengan kulit haiwan.

Kredit: Pemetaan Budaya JKKN

Alat gendang ini telah diperkenalkan ke Tanah Melayu sekitar abad ke-19 melalui golongan masyarakat India yang datang bekerja sektor perladangan dan pembinaan pada waktu itu.

Sejak itu, Urumee Melam telah menjadi sebahagian alat penting dalam upacara keagamaan Hindu terutamanya Thaipusam, Pongol dan perarakan Kavadi.

Irama dan pukulan yang terhasil juga sering dikatakan mampu mencipta suasana rohani yang mendalam serta menyemarakkan semangat keagamaan dalam kalangan penganut.

Fungsi & Peranan

Pada asalnya, alat ini juga berfungsi sebagai alat komunikasi di medan perang pada zaman dahulu.

Bunyian yang terhasil juga mampu menyampaikan mesej tertentu, menaikkan semangat para pejuang dan menyatukan pasukan di tengah kekacauan.

Malah, ia turut memeriahkan perkahwinan tradisional India serta upacara sembahyang di kuil yang dikatakan mampu menambahkan suasana kesucian dan pengabdian.

Dalam konteks kontemporari pula, Urumee Melam telah berkembang daripada peranan keagamaan kepada menjadi sebahagian daripada persembahan untuk festival kebudayaan antara kaum.

Bukan itu sahaja, ia turut menjadi persembahan seni di sekolah, universiti dan acara rasmi serta pameran seni dan warisan budaya negara.

Secara tidak langsung, ia turut membantu memperkenalkan warisan budaya India kepada kaum lain dan meningkatkan tahap apresiasi terhadap seni tradsional.

Ini juga menjadikannya sebagai medium diplomasi budaya dan alat perpaduan untuk memupuk sifat majmuk masyarakat di negara ini.

Cara persembahan

Urumee di Malaysia terbahagi kepada tiga saiz berbeza iaitu tinggi (high pitch), sederhana (medium pitch) dan rendah (bass). Gendang bersaiz sederhana ini biasanya memainkan peranan utama dalam persembahan.

Gendang tinggi dan rendah pula bertindak sebagai pengiring sokongan dan menghasilkan bunyi yang lebih seimbang.

Ia juga dimainkan dengan menggunakan tangan dan kayu pemukul, dan biasanya disangkut pada badan pemain.

Teknik pukulan yang digunakan pula membolehkan pemain menghasilkan bunyian kompleks yang menjadikannya berbeza dari alat gendang yang lain.

Pemainnya pula menggunakan dua jenis kayu pemukul yang diperbuat daripada rotan bengkok.

Batang rotan yang digunakan juga dikenali sebagai ahdi kucci untuk memukul sebelah kiri gendang, manakala dua batang rotan melengkung dikenali sebagai ellukucci digunakan pada sebelah kanan gendang.

Sebelum persembahan dimulai, gendang akan disangkut pada bahu pemain menggunakan tali kain. Ini membolehkan ia dimainkan dalam keadaan berdiri atau berjalan, terutamanya dalam perarakan Thaipusam.

Untuk membantu dalam penghasilan nada dan kelancaran geseran, permukaan kepala gendang turut dilumurkan dengan minyak.

Di India, minyak jarak (castor oil) digunakan. Di Malaysia, pemain urumee kebiasaannya menggunakan minyak yang diperoleh daripada biji serangkotai, yang turut dikenali sebagai "mye" atau "ink".

Sekiranya tiada sumber minyak tersebut, getah buah nangka juga boleh dijadikan sebagai pengganti.

Kredit: Pemetaan Budaya JKKN

Lagu yang dimainkan

Antara lagu yang dimainkan dalam persembahan Urumee Melam adalah:

Lagu iringan Kavadi/Thaipusam

Semasa perarakan kavadi, sesetengah kumpulan Urumee Melam mungkin menggunakan lagu-lagu tradisional Tamil yang dikatakan membangkitkan semangat.

  • "Kavadi Chindu"

  • "Saravana Bhava","Kanda Sashti Kavasam"

Lagu-lagu Rakyat Tamil (folk songs)

Biasanya ia turut dimainkan dalam acara kebudayaan atau perayaan komuniti.

  • "Aattam Paatu"

  • "Kummi Paatu"

  • Dappaankuthu"