Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Terletak Di Artik, Kenali "Doomsday Vault" Yang Simpan Benih Tanaman Untuk Masa Depan

doomsday vault
Kredit: AFP

Pernahkah anda terfikir bagaimana dunia dapat memastikan bekalan makanan terus terpelihara sekiranya berlaku bencana alam, perubahan iklim, peperangan atau kemusnahan alam sekitar yang mengancam sumber makanan manusia?

Iklan

Bagi menghadapi ancaman tersebut, sebuah kemudahan penyimpanan benih terbesar di dunia yang dikenali sebagai bilik Svalbard Global Seed Vault (SGSV) atau doomsday vault telah diwujudkan di kawasan Artik, Norway.

Terletak jauh di dalam sebuah gunung di kepulauan Svalbard, kemudahan ini berfungsi sebagai pusat simpanan sandaran bagi benih pelbagai jenis tanaman dari seluruh dunia, sekali gus melindungi kepelbagaian genetik tanaman daripada risiko kehilangan dan kepupusan.

Usaha penyimpanan ini amat penting bagi memastikan benih tanaman yang berharga dapat dipulihkan semula sekiranya koleksi asal musnah akibat bencana, peperangan atau perubahan persekitaran, selain menjamin kelangsungan sumber makanan untuk generasi akan datang.

Svalbard Global Seed Vault (SGSV)

Kredit: AFP

Menurut laman web Government of Norway, kedudukan Svalbard Global Seed Vault terletak di utara tanah Eropah, kira-kira di pertengahan antara tanah besar Norway dengan Kutub Utara.

Kepulauan ini terdiri daripada beberapa buah pulau yang terletak antara garis lintang 74 hingga 81 darjah utara dan garis longitud 10 darjah hingga 35 darjah timur. Pulau terbesar ialah Spitsbergen, diikuti oleh Nordaustlandet dan Edgeøya.

Bilik kebal ini memberikan perlindungan penting kepada kepelbagaian tanaman dengan menyimpan benih utama yang ditanam dan dimakan di seluruh dunia.

Kemudahan ini diperlukan kerana apabila sesuatu varieti tanaman hilang, ciri-ciri penting yang menjadikannya bernilai mungkin turut hilang selama-lamanya.

Ciri-ciri ini boleh digunakan untuk membangunkan varieti tanaman baharu bagi menghadapi cabaran seperti suhu yang tinggi, kekurangan hujan dan pelbagai perubahan lain.

Crop Trust menyatakan bahawa bank gen di seluruh dunia menghantar sampel benih pendua ke bilik kebal ini untuk penyimpanan jangka panjang, sambil mengekalkan hak milik terhadap koleksi masing-masing.

Sekiranya benih asal hilang di tempat lain, benih sandaran yang disimpan di Svalbard boleh dikeluarkan dan digunakan untuk memulihkan koleksi tersebut.

Sejarah Penubuhan dan Perkembangan Bilik Kebal Simpanan Benih Global Svalbard (2004-2026)

Kredit: Crop Trust

2004

Sekumpulan penyelidik yang terdiri daripada bekas Pengarah Eksekutif Crop Trust, Cary Fowler, CGIAR, Universiti Pertanian Norway dan NordGen telah menjalankan kajian kebolehlaksanaan dan merumuskan bahawa Svalbard merupakan lokasi yang sesuai untuk penyimpanan benih jangka panjang.

2008

Peti Simpanan Benih Global Svalbard mula dibuka hasil kerjasama antara Kementerian Pertanian dan Makanan Kerajaan Norway, Pusat Sumber Genetik Nordik (NordGen) dan Crop Trust.

Majalah Time turut menamakan Peti Simpanan Benih ini sebagai ciptaan keenam terbaik pada tahun 2008.

2013

Kira-kira satu pertiga daripada kepelbagaian tanaman yang disimpan di bank gen seluruh dunia, berdasarkan genus, telah diwakili dalam koleksi bilik kebal ini.

2015

Akibat perang saudara di Syria, Pusat Penyelidikan Pertanian Antarabangsa di Kawasan Gersang (ICARDA) tidak lagi dapat menguruskan bank gen mereka di Syria.

Oleh itu, pihak ICARDA telah melakukan pengeluaran benih pertama dalam sejarah daripada Peti Simpanan Benih Global Svalbard untuk membiak semula benih tersebut dan menyimpannya dalam koleksi aktif di Lubnan dan Maghribi.

2018

Bilik kebal ini menyambut ulang tahun ke-10 pada Februari 2018 dengan menerima penghantaran lebih daripada 70,000 varieti tanaman daripada 23 institusi penyimpan.

Jumlah keseluruhan varieti benih yang pernah diterima meningkat kepada lebih satu juta, tidak termasuk benih yang telah dikeluarkan.

2019

Kerja-kerja penambahbaikan pada bahagian pintu masuk bilik kebal ini telah dijalankan bagi mengelakkan kebocoran air.

Usaha tersebut melibatkan pemasangan lapisan kalis air pada dinding terowong, penyingkiran sumber haba dari dalam terowong serta penggalian saliran air di bahagian luar.

2020

Bangsa Cherokee menjadi kumpulan masyarakat pribumi pertama dari Amerika Utara yang menyimpan benih di Peti Simpanan Benih ini dengan melindungi sembilan jenis tanaman makanan warisan yang telah wujud sebelum penjajahan Eropah.

Pada Februari, para pemimpin dunia turut berhimpun di bilik kebal bagi menghadiri Sidang Kemuncak Benih untuk membincangkan tema “Kepelbagaian Genetik untuk Sistem Makanan yang Lebih Berdaya Tahan”.

Dalam tempoh yang sama, jumlah varieti benih yang disimpan telah melepasi satu juta daripada kapasiti keseluruhan sebanyak 4.5 juta sampel.

2021

Hasil penambahbaikan kepada Portal Benih (Seed Portal), benih yang baharu dihantar boleh disimpan di dalam kotak yang sama dengan benih daripada penghantaran tahun sebelumnya buat pertama kali.

Langkah ini dapat menjimatkan ruang bagi penghantaran benih pada masa hadapan daripada institusi penyimpan yang sama.

2023

Bilik kebal ini menyambut ulang tahun ke-15 pada Februari 2023 dan menerima hampir 20,000 sampel benih daripada 20 institusi bank gen.

Penghantaran tersebut turut melibatkan koleksi daripada institusi yang pertama kali menyertai program ini dari Albania, Croatia, Macedonia Utara dan Benin.

Selain itu, lawatan maya baharu turut diperkenalkan bagi membolehkan orang ramai meneroka kemudahan penyimpanan benih tersebut secara dalam talian.

2024

Projek BOLD membantu membawa sekumpulan koleksi benih baharu ke dalam sistem penyimpanan sandaran global.

Menjelang akhir tahun 2024, seramai 29 rakan kerjasama dari 24 negara telah menyimpan hampir 24,000 sampel benih dengan sokongan projek BOLD, termasuk 25 institusi yang pertama kali menyertai program tersebut.

Geoffrey Hawtin dan Cary Fowler, iaitu tokoh perintis yang memainkan peranan penting dalam penubuhan Svalbard Global Seed Vault, telah menerima Anugerah Makanan Dunia 2024 (2024 World Food Prize).

2025

Penghantaran benih pada Februari menandakan kejayaan penyempurnaan usaha penyimpanan sandaran benih yang dibiayai oleh Norway melalui projek BOLD.

Seramai 10 institusi rakan kerjasama telah berkunjung ke Svalbard bagi menyertai majlis tersebut, diikuti dengan penganjuran Dialog Antarabangsa Svalbard yang pertama.

2026

Bilik Svalbard Global Seed Vault telah melepasi jumlah 1.4 juta sampel benih selepas penghantaran ke-70 yang berlangsung pada bulan Jun.

Tahun ini turut menyaksikan pengiktirafan antarabangsa apabila Peti Simpanan Benih tersebut menerima Anugerah Puteri Asturias bagi Kerjasama Antarabangsa (Princess of Asturias Award for International Cooperation), sebagai penghargaan terhadap kerjasama dan kepercayaan yang menjadi asas kepada usaha pemuliharaan benih di seluruh dunia.

Bagaimanakah bilik kebal ini berfungsi?

  • Suhu −18°C (−0.4°F) diperlukan untuk penyimpanan benih yang optimum. Permafrost dan batuan tebal dapat memastikan sampel benih kekal beku walaupun tanpa bekalan elektrik.

  • Benih dimeterai dalam bungkusan kerajang tiga lapisan yang dibuat khas. Bungkusan ini disimpan dengan selamat di dalam kotak pada rak jauh di dalam Peti Simpanan Benih.

  • Suhu rendah dan kelembapan yang rendah di dalam Peti Simpanan Benih memastikan aktiviti metabolik benih berada pada tahap rendah, sekali gus membantu benih kekal hidup dan berdaya tumbuh untuk tempoh yang lama.

Benih yang disimpan di dalam bilik kebal berasal daripada koleksi bank gen yang telah lama ditubuhkan dan diuruskan secara berterusan.

Benih tersebut juga telah mempunyai salinan sandaran di tempat lain serta masih tersedia daripada koleksi asal untuk tujuan penyelidikan, pembiakbakaan dan pendidikan.

Bank gen dan institusi yang memenuhi kriteria ini boleh menyimpan benih mereka di Svalbard dan digalakkan untuk menghubungi pihak rakan pengurusan.

Apakah yang disimpan di dalam bilik Svalbard Global Seed Vault (SGSV)?

Sehingga tahun 2026, Peti Simpanan Benih ini melindungi lebih daripada 1.4 juta sampel benih daripada 134 institusi di seluruh dunia, menjadikannya koleksi benih tanaman makanan terbesar di dunia.

Antara benih yang disimpan termasuk:

  • Varieti tanaman makanan ruji seperti jagung, padi, gandum, kentang, kacang soya dan sorgum.

  • Pelbagai jenis sayur-sayuran yang digunakan dalam hidangan tradisional di seluruh dunia.

  • Tanaman penting tempatan dan tanaman berpotensi, termasuk tanaman tradisional yang menjadi sumber makanan masyarakat.

Peti Simpanan Benih ini mempunyai kapasiti untuk menyimpan 4.5 juta sampel benih. Setiap paket benih mengandungi purata 500 biji benih. Oleh itu, sehingga 2.5 bilion biji benih boleh disimpan di dalam Peti Simpanan Benih ini.

Mengapa Svalbard?

Kredit: AFP

Bilik Svalbard Global Seed Vault (SGSV) terletak di lokasi yang sangat sesuai untuk penyimpanan benih dalam jangka masa panjang atas beberapa faktor.

1. Lokasi terpencil tetapi mudah diakses

Svalbard ialah kawasan paling jauh ke utara yang boleh dikunjungi oleh seseorang menggunakan penerbangan berjadual, menawarkan lokasi terpencil yang bagaimanapun masih boleh diakses.

2. Terletak jauh di dalam gunung

Walaupun pintu masuknya boleh dilihat, bilik kebal itu sendiri terletak lebih daripada 100 meter ke dalam gunung.

3. Kawasan geologi yang stabil

Kawasan persekitaran ini sangat stabil dari segi geologi serta mempunyai tahap kelembapan yang rendah untuk memastikan struktur binaan sentiasa selamat.

4. Kedudukan yang tinggi dari aras laut

Bilik kebal ini terletak tinggi di atas paras laut, menjadikannya terlindung daripada risiko banjir lautan walaupun mengikut unjuran senario kes terburuk kenaikan paras air laut.

5. Perlindungan semula jadi daripada permafrost

Permafrost (tanah membeku kekal) menawarkan pembekuan semula jadi kepada bilik kebal, menyediakan kaedah yang menjimatkan kos dan selamat daripada kegagalan untuk memulihara benih.

Kumpulan manakah yang terlibat dalam Bilik Kebal Benih Svalbard?

Bilik kebal ini dimiliki dan ditadbir oleh Kementerian Pertanian dan Makanan bagi pihak Kerajaan Norway serta ditubuhkan sebagai satu perkhidmatan kepada masyarakat dunia.

Crop Trust memberikan sokongan bagi operasi berterusan Peti Simpanan Benih, serta pembiayaan untuk penyediaan dan penghantaran benih dari negara-negara membangun ke fasiliti tersebut.

Pusat Sumber Genetik Nordik (The Nordic Genetic Resources Center, NordGen) mengendalikan fasiliti ini dan menyelenggara pangkalan data dalam talian awam bagi sampel yang disimpan di dalam Peti Simpanan Benih.

Sebuah majlis penasihat antarabangsa menyelia pengurusan dan operasi Peti Simpanan Benih ini.

Siapakah yang boleh mengeluarkan benih?

Peti Simpanan Benih Global Svalbard terdiri daripada tiga ruang kebal batu yang berasingan tetapi serupa, dengan setiap ruang berukuran 9.5 meter lebar dan 27 meter panjang.

Bilik kebal ini beroperasi menggunakan sistem “kotak hitam” (black box). Seperti peti simpanan keselamatan di bank, pihak yang menyimpan benih tetap memiliki kotak benih mereka.

Benih yang disimpan dibungkus di dalam beg kedap udara sebelum dimasukkan ke dalam kotak yang ditutup dengan rapi.

Kotak-kotak tersebut kemudiannya disusun di atas rak tinggi yang terdapat di dalam ruang simpanan benih.

Hanya institusi yang menyimpan kotak tersebut mempunyai hak untuk mengeluarkan dan membukanya.

Pengaturan ini membolehkan bank gen dan institusi melindungi koleksi benih utama mereka di Svalbard tanpa kehilangan hak milik atau kawalan terhadap benih tersebut.

Individu di sebalik penyimpanan benih

Kredit: Crop Trust

Nolipher Mponya, daripada Pusat Sumber Genetik Tumbuhan Malawi (Malawi Plant Genetic resources Centre, MPGRC), semasa majlis penyimpanan benih yang melibatkan rakan kongsi BOLD pada tahun 2025.

Kredit: Crop Trust

Wakil daripada NACGRAB, ICRISAT, projek Seeds for Resilience oleh Crop Trust dan Pusat Sumber Genetik Tumbuhan Kebangsaan Zambia (NPGRC) di luar Peti Simpanan Benih Global Svalbard selepas penyimpanan benih pada Oktober 2023.

Kredit: Crop Trust

Hidelisa de Chavez, daripada Institut Pembiakbakaan Tumbuhan, Universiti Filipina, semasa majlis penyimpanan benih bersama rakan kongsi BOLD.

Kredit: Crop Trust

Pusat Penyelidikan Saintifik Pertanian Georgia telah membuat penyimpanan benih pertama mereka di Bilik Kebal Benih Svalbard dengan menyumbangkan 210 varieti tanaman. Lawatan mereka disokong oleh Dana Perkongsian Faedah (Benefit-sharing Fund, BSF) di bawah Perjanjian Antarabangsa.

Bagaimanakah Bilik Kebal Benih Svalbard Melindungi Sistem Global?

Lebih daripada 850 bank gen di seluruh dunia memelihara kepelbagaian tanaman yang diperlukan oleh petani, penyelidik dan pembiak baka.

Namun, koleksi ini terdedah kepada pelbagai risiko. Satu peti sejuk beku yang mengalami kerosakan sahaja boleh membahayakan hasil kerja pemuliharaan selama berdekad-dekad.

Peperangan, bencana alam dan cuaca ekstrem boleh merosakkan kemudahan atau menyekat akses kakitangan bank gen.

Koleksi benih juga boleh hilang akibat gangguan bekalan elektrik, kerosakan peralatan, kekurangan dana, keadaan penyimpanan yang tidak sesuai atau kesilapan manusia.

Penyimpanan salinan benih di lokasi lain memberikan peluang untuk melindungi kepelbagaian tanaman pada masa hadapan.

Dengan menyimpan salinan benih di lokasi yang berasingan dan selamat, bank gen dapat melindungi koleksi yang mungkin sukar atau mustahil untuk digantikan.

Intipati
  • Svalbard Global Seed Vault menyimpan lebih 1.4 juta sampel benih dari seluruh dunia.
  • Kemudahan di Norway itu berfungsi sebagai sandaran jika koleksi asal bank gen musnah.
  • Benih disimpan pada suhu rendah, dalam bungkusan khas, jauh di dalam gunung.

Bahagian ini dijana AI dan mungkin mengandungi kesilapan. Lapor kesilapan