Utama

Politik

Politik

Berita

Berita

Luar Negara

Berita

Politik

Politik

Berita

Berita

Luar Negara

Berita

Ahli astronomi pada Khamis melaporkan penemuan sebuah bintang dengan susunan planet yang pelik dan bercanggah dengan jangkaan sains, sekali gus mencadangkan bahawa dunia-dunia jauh itu terbentuk dengan cara yang belum pernah dilihat sebelum ini, lapor AFP.
Dalam sistem Suria kita, empat planet yang paling hampir dengan matahari bersaiz kecil dan berbatu, manakala empat planet yang lebih jauh merupakan gergasi gas.
Para saintis sebelum ini menyangka susunan planet iaitu berbatu di bahagian dalam dan diikuti planet gas adalah corak yang konsisten di seluruh alam semesta.
Namun, sebuah bintang dikenali sebagai LHS 1903 yang ditemui dalam cakera tebal Bima Sakti menunjukkan sebaliknya.
Pasukan astronomi antarabangsa yang menganalisis data daripada beberapa teleskop telah mengenal pasti tiga planet yang mengorbit bintang kerdil merah itu, yang lebih sejuk dan kurang terang berbanding matahari.
Planet yang paling hampir dengan bintang tersebut adalah berbatu, diikuti dua planet gergasi gas, satu susunan yang sejajar dengan jangkaan saintis.

Namun, penelitian lanjut terhadap pemerhatian oleh teleskop angkasa Cheops milik Eropah, yang mengkaji eksoplanet, mendedahkan kewujudan planet keempat yang mengorbit lebih jauh dan planet itu juga berbatu.
“Ia menjadikan sistem ini seolah-olah terbentuk dari dalam ke luar, dengan susunan planet berbatu, gas, gas dan kemudian berbatu semula.
"Planet berbatu biasanya tidak terbentuk begitu jauh dari bintang asalnya,” jelas penulis utama kajian baharu yang menerangkan penemuan itu dalam jurnal Science, Thomas Wilson.
Planet dalaman lazimnya dijangka bersaiz kecil dan berbatu kerana radiasi kuat daripada bintang berdekatan menyingkirkan kebanyakan gas daripada teras berbatu mereka.
Sebaliknya, di kawasan sistem yang lebih jauh dan sejuk, atmosfera tebal boleh terbentuk di sekeliling teras planet, lalu menghasilkan planet gergasi gas.
Hairan dengan sistem planet LHS 1903 yang luar biasa itu, pasukan astronomi berusaha mengenal pasti apa yang mungkin telah berlaku.
Selepas menolak beberapa kemungkinan, mereka mengemukakan satu senario, bagaimana jika planet-planet itu terbentuk satu demi satu?
Menurut teori yang paling diterima umum, planet terbentuk secara serentak dalam satu gelang besar gas dan debu yang dikenali sebagai cakera protoplanet.
Proses ini melibatkan butiran debu halus yang bergumpal, kemudian membesar menjadi teras yang akhirnya berkembang menjadi planet.
Namun, ketika planet keempat yang mengorbit LHS 1903 terbentuk, sistem tersebut mungkin sudah kehabisan gas.
“Namun di sinilah wujud sebuah dunia kecil berbatu yang mencabar jangkaan.
“Nampaknya kami telah menemui bukti pertama bagi sebuah planet yang terbentuk dalam persekitaran yang kekurangan gas," katanya.
Sejak 1990-an, ahli astronomi telah menemui lebih 6,000 planet di luar Sistem Suria, dikenali sebagai eksoplanet, kebanyakannya melalui pengesanan perubahan kecil dalam kecerahan apabila planet tersebut melintasi hadapan bintangnya.
“Secara sejarahnya, teori pembentukan planet kita banyak berasaskan apa yang kita lihat dan ketahui tentang Sistem Suria.
“Namun, apabila semakin banyak sistem eksoplanet berbeza ditemui, kita mula menilai semula teori-teori tersebut," kata penyelidik cakera planet di Agensi Angkasa Eropah, Isabel Rebollido.