Utama

Politik

Politik

Berita

Berita

Luar Negara

Berita

Politik

Politik

Berita

Berita

Luar Negara

Berita

Radzi Jidin & Faizal Azumu Galas Tugas Timbalan Presiden Bersatu
Datuk Radzi Jidin dan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu telah dilantik untuk menjalankan tugas Timbalan Presiden Bersatu.
Perkara itu dimaklumkan oleh Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin menerusi satu kenyataan pada Sabtu.
Menurutnya, pelantikan itu dilakukan hasil persetujuan sebulat suara dalam Mesyuarat Khas Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu.
"Mesyuarat MPT Bersatu telah sebulat suara bersetuju untuk melantik Datuk Radzi Jidin dan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu untuk menjalankan tugas Timbalan Presiden," katanya.
Muhyiddin berkata mesyuarat tersebut turut membincangkan langkah-langkah untuk memperkukuhkan Bersatu susulan tindakan disiplin yang diambil terhadap beberapa orang ahli parti.
"Tindakan disiplin adalah sebahagian daripada mekanisme yang ada di dalam perlembagaan parti untuk memastikan parti terus stabil dan kukuh.
"Ia bukanlah suatu tindakan yang diambil secara sewenang-wenangnya terutamanya apabila melibatkan pemimpin parti kanan," katanya dalam kenyataan tersebut.
Tambahnya lagi, banyak usaha dilakukan untuk mencari titik perdamaian dan menyelamatkan parti sebelum tindakan disiplin diambil, termasuk menerusi siri pertemuan dan perbincangan dengan pihak-pihak terlibat.
Bagaimanapun, usaha tersebut tidak berhasil.
"Terdapat segelintir pihak yang secara berterusan melakukan sabotaj terhadap parti dengan tujuan untuk memecah-belahkan parti dan menggagalkan matlamat perjuangan parti," katanya.
Ujarnya, beliau selama bertahun-tahun mengambil sikap yang berhemah dalam menghadapi pelbagai bentuk sabotaj dalaman serta tekanan demi tekanan dari dalam parti sendiri.
"Saya juga telah memberikan tempat dalam barisan kepimpinan parti kepada orang-orang yang saya tahu menentang saya.
"Saya bersangka baik demi satu tujuan iaitu untuk memastikan parti Bersatu terus bersatu padu, kukuh dan dapat menjayakan tujuan dan matlamat perjuangan parti yang murni.
"Malangnya, usaha saya ini tidak dihargai oleh mereka. Malah, tindakan-tindakan yang bercanggah dengan perlembagaan parti dan disiplin parti dilakukan secara berterusan.
"Jika dibiarkan perbuatan ini akan merosakkan parti dan mengecewakan ahli-ahli parti yang setia dengan perjuangan parti," katanya.
Justeru, menurutnya, beliau dan rakan-rakan dalam barisan kepimpinan Bersatu bertekad bahawa sudah tiba masanya proses disiplin termaktub dalam perlembagaan Bersatu diambil untuk menyelamatkan parti itu.