Kim Jong Un Bakal Pilih Anak Perempuan Sebagai Pengganti?
Pemimpin Korea Utara, Kim Jong Un, dilaporkan telah mengukuhkan kedudukan anak perempuannya sebagai pewaris kepimpinan menjelang satu persidangan parti penting, lapor AFP.
Perkara itu didedahkan oleh seorang ahli Parlimen Korea Selatan pada Khamis selepas menerima taklimat daripada agensi perisikan utama Seoul.
Anak perempuannya, Kim Ju Ae sejak sekian lama dilihat sebagai bakal pengganti. Ia satu persepsi yang diperkukuh melalui beberapa kemunculan berprofil tinggi sejak kebelakangan ini.
“Perkhidmatan Perisikan Negara Korea Selatan (NIS) memaklumkan bahawa Ju Ae kini telah jelas ditetapkan sebagai pewaris.
“Penilaian tersebut dibuat dengan mengambil kira pelbagai keadaan termasuk kehadirannya yang semakin menonjol dalam acara rasmi,” kata ahli Parlimen Lee Seong-kweun selepas sesi taklimat Parlimen bersama agensi perisikan itu.

Menurut Lee, terdapat juga petanda bahawa Ju Ae sudah mula terlibat dalam perbincangan berkaitan dasar kerajaan.
Agensi perisikan Korea Selatan tahun lalu menyatakan bahawa Ju Ae dilihat sebagai pewaris selepas beliau mengiringi Kim dalam lawatan berprofil tinggi ke Beijing.
Gambar-gambar yang diterbitkan menjelang satu kongres politik jarang diadakan di Korea Utara bulan ini mengukuhkan lagi pandangan tersebut.
Media negara menunjukkan Ju Ae pada Januari lalu memberi penghormatan bersama bapanya di Istana Matahari Kumsusan, tempat jasad pengasas negara Kim Il Sung dan pemimpin generasi kedua Kim Jong Il disemadikan.
Dalam pada itu, Pyongyang dijadualkan mengadakan satu kongres parti penting pada akhir Februari. Ia merupakan acara politik terbesar negara itu, yang dijangka menggariskan dasar luar, perancangan peperangan dan cita-cita nuklear Korea Utara bagi tempoh lima tahun akan datang.
NIS memaklumkan mereka akan memantau dengan teliti kehadiran Ju Ae, termasuk tahap protokol yang diberikan kepadanya.
Penganalisis berpendapat Ju Ae berpotensi dipilih sebagai Setiausaha Pertama Jawatankuasa Pusat, jawatan kedua paling berkuasa dalam Parti Pekerja Korea yang memerintah.
Ju Ae diperkenalkan secara terbuka kepada dunia pada 2022 apabila beliau mengiringi bapanya semasa pelancaran peluru berpandu balistik antara benua (ICBM).
Sejak itu, media negara Korea Utara merujuk Ju Ae sebagai 'anak kesayangan' dan 'tokoh pembimbing agung' atau hyangdo dalam bahasa Korea, iaitu satu istilah yang lazimnya dikhaskan untuk pemimpin tertinggi dan pewaris mereka.

