Dua pelumba Mercedes Formula Satu (F1), Andrea Kimi Antonelli dan George Russell mencuri perhatian pengguna media sosial selepas memberikan jawapan yang tidak disangka-sangka ketika ditanya mengenai makanan kegemaran mereka di Singapura.
Menerusi satu klip yang tular di Threads, kedua-dua pelumba itu diajukan soalan oleh pengacara mengenai makanan yang paling mereka gemari untuk dinikmati ketika berada di republik berkenaan.
Namun, jawapan Kimi dan Russell ternyata mengundang seloroh apabila pelumba Itali itu memilih ‘pasta’, manakala Russell dari Britain pula menjawab ‘fish and chips’.
Lebih menghiburkan, kedua-dua hidangan berkenaan cukup sinonim dengan negara asal masing-masing, bukannya makanan tempatan Singapura.
Jawapan spontan itu sekali gus mengundang gelak tawa dan menjadi bahan usikan netizen yang menyifatkan mereka seolah-olah ‘terlupa’ bahawa soalan tersebut mengenai makanan kegemaran di Singapura.
Klip berkenaan meraih lebih 95,000 tontonan dan ribuan tanda suka, dengan rata-rata netizen Malaysia turut terhibur melihat gelagat dua pelumba berkenaan.
Seloroh Netizen: ‘Nasib Baik Kimi Tak Jawab Splashmania’
Menjengah ke ruangan komen, seorang pengguna Threads, rmdhnw, berseloroh bahawa jadual kedua-dua pelumba itu mungkin sudah ditetapkan lebih awal sehingga mereka tidak mempunyai banyak masa untuk meneroka makanan atau aktiviti tempatan.
“Mungkin semua program untuk para pelumba sudah diatur lebih awal. Berbeza dengan Malaysia yang hampir tiada apa-apa yang ditetapkan kerana ia merupakan penggantian pada saat-saat akhir, jadi para pelumba mempunyai lebih banyak masa terluang.”
Tidak kurang juga yang mengusik Kimi dengan mengaitkan jawapannya dengan pengalaman ketika berada di Malaysia sebelum ini.
“Nasib baik Kimi tak jawab Splashmania. Kot masih rindu Splashmania,” seloroh syahmi.rzak.
Seorang lagi pengguna, bulan_gulam, turut mengusik dengan berkata, “Seorang roh masih kat Splashmania, yang seorang roh kat Langkawi lagi.”
Gelagat Russell pula turut menjadi perhatian apabila ofanotheraz mengusik reaksi pelumba Britain itu sebelum akhirnya memilih ‘fish and chips’.
“George muka macam tengah fikir apa ek SG punya food nak jawab, sekali adiknya nonchalantly ‘pasta’, terus George ‘ok aku pun nak gak lah, fish and chips’ hahaha geram je dua ketul ni,” katanya.
Sementara itu, qur.shah pula berseloroh supaya kedua-dua pelumba berkenaan dibawa bersiar-siar terlebih dahulu bagi menikmati pengalaman sebenar di Singapura.
“Pergi bawak diorang pusing Singapore cepat,” katanya.
Gelagat Kimi dan Russell itu turut mengingatkan netizen kepada kunjungan mereka ke Malaysia sebelum ini apabila kedua-duanya dilihat lebih ‘lokal’ dalam memilih makanan serta aktiviti.
Pendek kata, kalau di Singapura masih sempat teringat pasta dan ‘fish and chips’, netizen nampaknya mahu memastikan kunjungan mereka ke Malaysia selepas ini benar-benar dipenuhi makanan dan pengalaman tempatan.

