Tip Nak Hilang & Lupakan Lirik Lagu Yang Bermain-main Di Kepala
Hampir setiap hari kita akan mendengar lagu-lagu random, lebih-lebih ketika manatal aplikasi media sosial.
Jika lagu yang didengar kedengaran catchy dan mempunyai lirik yang berulang-ulang, ramai yang akan guna untuk dijadikan muzik latar kandungan yang dimuat naik.
Jadi, kita yang rajin menggunakan media sosial, sudah tentulah kerap terserempak dengan lagu-lagu ini.
Apabila kerap di dengar, maka lekaslah lagu berkenaan melekat di kepala. Setiap hari, lagu tersebut terngiang-ngiang di telinga.
Kadang kala, kita duduk tidak buat apa-apa pun tiba-tiba teringat dengan rentak dan lagu berkenaan. Susah juga, kan?
Jadi, kali ini SK ingin berkongsi beberapa tip untuk hilangkan lirik lagu yang ‘menghantui’ diri anda.
Fenomena ini dikenali sebagai ‘earworm’
Menurut USA Today, fenomena lagu bermain-main dalam fikiran ini dikenali sebagai earworms.
Fenomena ini terjadi apabila kita mendengar irama lagu yang mudah diingati, mempunyai tempo yang pantas dan lirik yang berulang-ulang.
Profesor Psikologi Eksperimen di Universiti Reading, Philip Beaman berkata fenomena ini berlaku secara atau pada tahap individu sahaja.
Lagu-lagu yang mekelat dalam kepala seseorang tidak semestinya turut melekat dalam kepada orang lain.
Jika fenomena earworm pernah terjadi kepada anda, tip dibawah mungkin berkesan untuk mengatasi masalah tersebut.
Mengunyah gula-gula getah
Sekiranya ia bermain dalam fikiran selepas mendengar lagu tersebut, anda boleh mencuba mengunyah gula-gula getah.
Ini kerana, kajian yang dibuat mendapati perbuatan mengunyah gula-gula getah didapati boleh menjejaskan pengalaman mendengar lagu.
Di samping itu, menyunyah gula-gula getah dikatakan turut mengganggu keupayaan seseorang untuk mengingati perkataan dari memori jangka pendek mereka.
Malah, ia turut terbukti apabila manusia menggerakkan mulut dan menggunakan bahagian otak yang sama, di mana ia digunakan untuk ingatan jangka pendek.
Jadi, ia akan menyukarkan anda untuk mengingati lagu-lagu yang baru didengar.
Dengarkan keseluruhan lagu
Menurut USA Today, menikmati keseluruhan lagu yang bermain di kepala juga dapat menghilangkan sesetengah rangkap lagu yang ‘terperangkap’ dalam diri anda.
Mendengar perbualan penyampai radio, lagu-lagu lain atau berborak
Selain itu, mendengar lagu-lagu lain dengan lebih kerap atau mendengar celoteh penyampai radio juga boleh membantu mengatasi masalah ini.
Apabila kita mempelbagaikan lagu-lagu yang didengar, adalah menjadi lebih sukar untuk sesebuah lagu itu melekat dalam kepala.
Bermain puzzle
Jika tidak mahu mendengar lagu lain, anda juga boleh mencuba aktiviti berbeza yang memerlukan otak berfikir.
Antaranya bermain permainan puzzle. Otak menjadi lebih fokus kepada permainan itu dan mungkin dapat membantu anda melupakan lagu yang sedang bermain dalam kepala.
Cuba abaikan sekiranya ia terjadi
Satu lagi kaedah yang boleh digunakan adalah bertahan dan membiarkan lirik lagu berkenaan pudar dari ingatan seiring dengan peredaran masa.
Ini kerana, ada masanya apabila kita terlalu berusaha untuk melupakan sesuatu, ia sebenarnya membuatkan ingatan kita pada sesuatu perkara itu menjadi lebih kuat.
Selamat mencuba.
BACA: Anak Resah Ayah Hilang Sejak 4 September, Kereta Pula Ditemui “Total Lost” & Terbakar
Sumber: USA Today